fbpx

Mahkamah: Nasib Ahmad Zahid berhubung 40 tuduhan rasuah diketahui esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid.

SHAH ALAM – Selepas lebih setahun perbicaraan berlangsung, nasib bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN), akan diketahui esok.

Keputusan sama ada Ahmad Zahid, 69, dibebaskan atau diperintah membela diri bagi kesemua pertuduhan di akhir kes pendakwaan itu, akan diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd. Yazid Mustafa.

Hakim Mohd. Yazid menetapkan esok sebagai keputusan di akhir kes pendakwaan, selepas pasukan pendakwaan dan pembelaan telah selesai berhujah selama empat hari bermula 1 hingga 7 September lalu.

Untuk rekod perbicaraan kes ini memakan masa selama 29 hari yang mana ia bermula pada 24 Mei 2021 dan selesai pada 11 Ogos lalu.

Dalam kes itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong dan B Thavani.

Sementara Ahmad Zahid diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd. Noh.

Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan menutup kesnya dengan memanggil seramai 18 saksi antaranya bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Alwi Ibrahim serta tiga bekas Pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), Harry Lee Vui Khiun, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani dan David Tan Siong Sun.

Mengikut pertuduhan Ahmad Zahid didakwa dan mengaku tidak bersalah atas 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Presiden UMNO itu juga turut mengaku tidak bersalah atas tujuh lagi pertuduhan memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Selain kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam, pada waktu sekarang, Ahmad Zahid juga sedang menjalani perbicaraan bela diri terhadap 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI