fbpx

Ara Johari berpantang, takut hilang suara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARA JOHARI

PETALING JAYA – Dua bulan berhadapan masalah sakit tekak yang kronik membuatkan penyanyi Ara Johari terpaksa berpantang daripada mengambil makanan pedas dan minuman sejuk demi menjaga suara.

Katanya, situasi dihadapi memaksanya bertemu empat doktor termasuk pakar hidung dan tekak disebabkan bimbang keadaan itu boleh menjejaskan mutu persembahan terutama ketika membawakan lagu bernada tinggi.

“Ini kali kedua saya diserang sakit tekak yang teruk dan mengambil masa panjang untuk kembali sembuh. Kali pertama beberapa tahun lalu yang nyaris membuatkan saya hilang suara.

“Apabila berhadapan isu sama saya berasa sangat bimbang andai ia menjejaskan persiapan showcase malam ini yang sudah dirancang sejak sekian lama,” katanya kepada Kosmo! Online semalam.

Kongsinya, dia turut mengamalkan beberapa petua dan tips bagi menjaga kesihatan suaranya.

“Boleh dikatakan pelbagai petua saya ikuti terutama menjaga makan dan minum. Kiranya betul-betul berpantang selain bertemu doktor termasuk pakar telinga, tekak dan hidung.

“Malah sepanjang sebulan menjelang persembahan di PJPac ini saya terpaksa tolak tawaran lain untuk merehatkan tekak. Sebagai penyanyi, situasi begini yang saya takutkan,” katanya lagi.

Penyanyi berusia 25 tahun itu berkata demikian selepas ‘showcase’ pertamanya, A Night With Ara Johari yang berlangsung di Nero Event Space, PJPac, malam tadi.

Membawakan lapan dendangan termasuk dua seleksi terbaru, pentas tersebut turut dipanaskan kehadiran teman duetnya bagi lagu Keliru, Lil J.

Biar berdepan sakit tekak, penyanyi yang berpayung di bawah Rocketfuel Entertainment itu tetap menampilkan persembahan mantap di hadapan kira-kira 200 peminat, sekaligus meraih tepukan gemuruh.

Akui pemilik nama sebenar Nurfarrah Izzatie Johari itu lagi, teknik yang betul selain menurunkan nada suara membolehkan persembahannya berjalan lancar.

“Terima kasih kepada seluruh pasukan yang merealisasikan malam ini terutama guru vokal saya yang memberikan bimbingan untuk saya menyanyi mengikut teknik bersesuaian.

“Walaupun ‘key’ diturunkan untuk dendangan nada tinggi, syukur penonton memberikan sambutan luar biasa yang membuatkan saya terus bersemangat.

“Ada beberapa kali ketika menyanyi tekak saya rasa gatal dan kering, tetapi masih terkawal. Agak mencabar, namun saya bersyukur segala-galanya berjalan lancar,” katanya.

Terdahulu, Ara memaklumkan sakit tekak dialaminya bermula pada 24 Julai lalu susulan demam panas, namun hingga sekarang keadaannya tidak berubah.

Pada masa sama, penyanyi Warkah Untukku itu lega apabila doktor memaklumkan situasi dihadapinya tidak memerlukan pembedahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI