fbpx

Papan tanda di Suke mengikut piawaian, kelulusan LLM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pekerja kontrak mencabut papan tanda tambahan yang diletakkan pada persimpangan bercabang di susur keluar 1907A. FOTO IHSAN PROLINTAS

PETALING JAYA – Syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas) mengesahkan papan tanda yang dipasang di sepanjang Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke) mengikut piawaian yang ditetapkan.

Prolintas berkata, papan tanda itu juga telah mendapat kelulusan daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta dipasang pada gantri yang terletak di setiap 250 meter sebelum persimpangan bercabang.

Menurut Prolintas, sebagai inisiatif yang diambil pihak perunding dilantik dan syarikat, satu lagi papan tanda tambahan turut dipasang di tengah-tengah cabang simpang di atas papan tanda arah.

“Oleh sebab kekangan kawasan, saiz papan tanda tambahan yang digunakan adalah lebih kecil berbanding papan tanda sedia ada.

“Walaubagaimanapun, susulan maklum balas dan pandangan orang ramai di media sosial yang tular baru-baru ini, pihak syarikat memutuskan untuk mencabut papan tanda tambahan itu dengan serta- merta agar tidak mengelirukan pengguna lebuh raya berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, beberapa pengguna lebuh raya itu meluahkan rasa tidak puas hati apabila mereka mendapati ada papan tanda susur keluar di atas lebuh raya itu terlalu kecil berbanding papan tanda yang ada di bawahnya.

Menurut mereka, butiran pada papan tanda susur keluar itu hanya boleh ‘dibaca dengan jelas’ apabila pengguna sudah masuk ke dalam antara susur keluar di lorong kiri atau kanan lebuh raya tersebut.

Mengulas lanjut, Prolintas berkata, bahagian operasi Lebuh Raya Suke komited untuk terus menambah baik perkhidmatan disediakan serta sedang mereka bentuk papan tanda tambahan baharu yang lebih praktikal.

Katanya, Prolintas menegaskan bahawa struktur binaan Lebuh Raya Suke adalah selamat dan mengikut piawaian yang telah ditetapkan serta menerima kelulusan yang sewajarnya seperti yang tertakluk dalam Perjanjian Konsesi (CA).

“Sekali gus ia menyangkal dakwaan terdapat bahagian lebuh raya yang sudah beroperasi tidak selamat untuk digunakan.

“Kami menghargai dan menggalakkan pengguna untuk menyampaikan pandangan serta maklum balas demi memastikan perkhidmatan yang disediakan di Lebuh Raya Suke terus berada pada
tahap yang terbaik,” katanya.

Sebarang pertanyaan atau maklum balas boleh disampaikan terus kepada kami menerusi hotline 1-300-88-9922 atau boleh emelkan ke [email protected]. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI