fbpx
NOR ZAMZIEZAH fokus melakukan balingan ketika bersaing dalam acara boling padang perseorangan wanita paa Sukma MSN 2022 semalam. – AMIR KHALID

Nor Zamziezah dedikasi pingat emas Sukma buat arwah ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI penuh bermakna buat atlet boling padang Terengganu, Nor Zamziezah Ahmad apabila dia merangkul pingat emas buat pasukannya menerusi acara perseorangan wanita Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 pada acara akhir semalam.

Pada perlawanan di Pusat Boling Padang Nasional, Bukit Kiara, atlet kelahiran Kuala Terengganu itu memastikan emas menjadi miliknya selepas menewaskan wakil Kedah, Nurul Alia Fitrah Mohamad Ali 20-13.

Zamziezah yang kelihatan sebak sebaik menamatkan permainan sebagai pemenang menjelaskan, pingat emas itu sangat bermakna kerana didedikasikan kepada arwah ibunya, Rohani Karim yang meninggal dunia pada Mac 2020.

Meskipun mengakui hampir berputus asa selepas pemergian ibu tersayang, namun hasil sokongan serta dorongan orang sekeliling berjaya mengembalikan semangatnya untuk kembali bersaing.

“Misi saya pada hari ini (semalam) adalah untuk dapatkan emas dan alhamdulillah, ia berjaya atas hasil usaha saya serta sokongan jurulatih. Secara jujur, memang tidak jangka untuk dapatkan pingat emas.

“Kejayaan ini adalah untuk arwah emak yang ‘pergi’ sebelum pandemik. Sebenarnya, saya sudah hampir berputus asa dan tidak mahu bermain, tetapi sokongan para jurulatih dan keluarga buatkan saya bangkit,” katanya ketika ditemui selepas tamat saingan.

Selain itu, dia juga berjaya mencapai cita-citanya untuk beraksi dalam acara perseorangan wanita yang merupakan acara kegemaran pada penampilan terakhirnya pada temasya sukan tersebut.

“Saya mahu bermain dalam acara perseorangan sejak berusia 16 tahun lagi, tetapi tidak mendapat peluang itu. Meman­dangkan ini adalah Sukma terakhir, jadi saya mahu berikan sesuatu dalam acara kegemaran,” ujar atlet berusia 22 tahun itu.

Kemenangan itu turut menjadi pembakar semangat buat Zamziezah dalam usahanya untuk menembusi skuad boling padang kebangsaan dan dia bersedia menyahut panggilan negara jika diberikan peluang.

Sementara itu, mengiringi Zamziezah dan Nurul Alia di podium adalah atlet Pahang, Nik Asma Ifatul Aisya Bahari yang meraih gangsa selepas menewaskan wakil Melaka, Nor Syazana Afiqah Baharuddin 21-13 dalam aksi penentuan tempat ketiga.

POPULAR