fbpx

Isu penipuan kerja libatkan warga Malaysia akan dibawa ke Kabinet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Latiff ketika bercakap pada sidang akhbar berkaitan isu sindiket penipuan kerja di luar negara melibatkan warganegara Malaysia di Putrajaya di sini, hari ini.- Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad memaklumkan bahawa isu mengenai ramai rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan kerja di luar negara akan dibawa ke Kabinet.

Beliau berkata demikian selepas bertemu sendiri dengan wakil daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa waris mangsa.

Bercakap pada sidang akhbar di sini hari ini, beliau memaklumkan akan membawa isu itu dalam mesyuarat mingguan jemaah menteri esok bagi mencari jalan menyelamatkan mangsa.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam selepas menerima memorandum mereka telah mengarahkan saya agar melihat perkara ini dengan lebih mendalam,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Latiff berkata, pihak kerajaan memang memandang serius isu tersebut kerana sebahagian mangsa masih muda namun terjebak jenayah skim perhambaan moden.

“Bagaimanapun kita belum ada punca kuasa perundangan tertentu bagi menyekat rakyat pergi ke mana-mana negara anggota ASEAN kerana tiada visa jika kurang tempoh 90 hari,” katanya.

Justeru, beliau berharap mesyuarat Kabinet esok akan meneliti bentuk mekanisme yang boleh diguna bagi menghalang golongan belia ke luar negara menerusi tawaran percutian diragui.

Ditanya mengenai jumlah mangsa, Abdul Latiff berkata, angka sebenar tidak dapat disahkan kerana ramai waris belum membuat laporan rasmi kepada pihak Wisma Putra dan kedutaan.

Beliau memberi contoh di Myanmar apabila dianggarkan sejumlah 58 remaja Malaysia terkandas menjadi mangsa skim jenayah berkenaan tetapi bilangan tepat mungkin jauh lebih besar.

“Setakat ini, kita dapat kerjasama baik daripada kerajaan Kemboja dan Laos sehingga ramai mangsa dapat dikesan sebelum diselamatkan tetapi Myanmar pula ada masalah,” katanya.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI