fbpx

Ada Hantu 2 bikin penonton tak kering gusi!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FILEM Ada Hantu 2 masih mengekalkan watak utama iaitu lima sekawan, sama seperti dalam sekuel pertama sebelum ini.

TIDAK kering gusi. Begitulah ulasan pertama yang muncul menyaksikan reaksi penonton terhadap filem Ada Hantu 2 garapan pengarah muda yang juga seorang pelakon, Hairul Azreen.

Sejenak mengimbas kembali sekuel pertama Ada Hantu yang ditayangkan dalam platform Astro First pada tahun lalu, naskhah pertama arahan Hairul itu menerima pujian hebat daripada penonton.

Untuk naskhah yang mengekalkan genre komedi seram kali ini, secara keseluruhan naskhah berkenaan agak ringkas tetapi lebih banyak kejutan dihidangkan kepada penonton.

BIARPUN masih baharu, Rubini yang memegang watak Hana berjaya menghidupkan watak seram iaitu hantu menganggu misi lima sekawan dalam Ada Hantu 2.

Ramuan sama

Untuk Ada Hantu 2, ramuan masih sama, masih cuba ‘menyeramkan’ kemudian disulami pelbagai plot twist yang tak terjangka dek akal.

Bukan sahaja pengisian, pengarah juga masih mengekalkan lima barisan pelakon asalnya iaitu Zahiril sebagai Aliff, Shiqin (Bariah), Nafiez (Jimmy), Elvina (Sasha) dan Hairul (Talha).

Malah, lokasi yang diguna untuk Ada Hantu 2 juga merupakan banglo sama seperti filem pertama iaitu rumah peninggalan keluarga Bariah.
Memulakan plot dengan gelagat lima sekawan berkenaan membuat rakaman siaran langsung di hadapan banglo usang, elemen seram berjaya disemai dalam minda penonton.

Demi mencari bilik yang ada dalam mimpi Bariah, mereka sanggup melangkah masuk dalam banglo seram itu buat kali kedua.

Bermula detik itu, satu demi satu kejadian seram berlaku kepada mereka bagi melunaskan ‘misi’ tersebut.

Sama seperti filem pertama, penonton dikejutkan dengan pelbagai plot twist, tetapi kali ini susunan plotnya agak kemas dan tidak membosankan penonton.

Daripada mood seram, Ada Hantu 2 membuatkan penonton ‘pecah perut’ apabila penceritaan plot twistnya mula terungkai.

Menerusi filem ini, Zahiril berjaya membuktikan kemampuannya untuk menjayakan watak komedi yang membuatkan penonton tergeletek dengan lakonan bersahajanya.

Lakonan hebat empat lagi pelakon lain iaitu Sophia Albarakbah, Fify Azmi, Henley Hii dan Theeban G pada bahagian kedua berjaya menyemarakkan lagi sisi komedi filem ini.

ZAHIRIL berjaya memberi nyawa kepada watak YouTuber bernama Aliff yang menyerlahkan kehebatannya dalam menjayakan karakter komedi.

Babak Henley (Peter) yang mabuk selepas meneguk sebotol minuman alkohol dan kesungguhan Fify (Anita) serta Theeban (Suresh) berkejaran bagi merealisasikan misi ‘gila’ Aliff berjaya menghidupkan lagi filem ini.

Selain itu, watak hantu lakonan pelakon baharu, Rubini Sambanthan harus diberikan pujian.

Reaksi wajah dan moodnya cukup mencetuskan rasa seram dalam setiap adegan lakonannya.

Sementara itu, elemen yang paling ketara dalam filem ini ialah semangat setia kawan dan saling membantu di kala salah seorang sahabat mereka memerlukan pertolongan walaupun perlu berdepan dengan perkara mistik.

Sekiranya tidak pernah menonton Ada Hantu, itu bukan satu hal yang perlu dirunsingkan kerana penonton masih boleh memahami daripada filem kali ini.

Bukan kerana ada babak imbau kembali tetapi pengarah bijak menyusun plot cerita dan setiap dialog yang dilontarkan cukup untuk membuatkan penonton memahami jalan cerita dalam filem pertama.

Biarpun jalan ceritanya boleh dikatakan mirip sekuel pertama, usah khuatir kerana motif misi kali ini berbeza. Teknik kamera, sinematografi dan skripnya pada kali ini juga harus diberikan pujian.

Naskhah terbitan Act 2 Pictures Sdn. Bhd., Clover Films Sdn. Bhd., Hello Billionaires dan Motobits Sdn. Bhd. mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 15 September lalu.

KEHADIRAN watak Hana (kiri), Suresh, Peter dan Farah menguatkan lagi unsur komedi dalam filem ini.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI