fbpx

Sub kontraktor, pembekal projek LRT3 tuntut lunas bayaran RM25 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian sub kontraktor yang melakukan demontrasi aman hari ini. FOTO ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Sekumpulan wakil sub kontraktor dan pembekal tempatan bagi projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) menuntut sebuah syarikat melunaskan bayaran lebih RM25 juta yang didakwa tertunggak sejak setahun lalu.

Desakan itu dibuat mereka menerusi demonstrasi secara aman di sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Persekutuan di sini, hari ini.

Pengarah Urusan Izani Wawasan Enterprise (IZW) Sdn. Bhd., Rozani Aziz berkata, ia antaranya melibatkan projek pembinaan laluan, stesen dan bangunan bagi pakej GS05 dan GS06 laluan LRT 3 dari Bandar Utama ke Johan Setia, Klang.

Katanya, projek itu dibawah Kementerian Pengangkutan manakala kliennya adalah Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

“Sejak setahun lalu, kami sebagai sub kontraktor dan pembekal tidak menerima bayaran bagi kerja yang telah dilaksanakan dengan sempurna dan disahkan oleh pegawai sebuah syarikat tersebut.

“Kami dijanjikan berulang kali bahawa bayaran akan dibuat namun ia tidak ditepati dan bayaran tertunggak masih tidak dijelaskan,” katanya dalam kenyataan media.

Sementara itu, wakil Specom Engineering Sdn. Bhd., Dr. Chandran berkata, syarikat sub kontraktor dan pembekal terlibat kini mengalami masalah kewangan bagi melunaskan bayaran kepada pembekal termasuk turut terkesan dalam aspek bayaran gaji pekerja .

“Jumlah bayaran tertunggak kini mencecah jutaan ringgit bergantung kepada nilai tuntutan setiap kontraktor berdasarkan skop dan kemajuan kerja masing-masing.

“Kami telah berusaha menuntut bayaran daripada syarikat itu namun jawapan pada setiap mesyuarat adalah bayaran akan datang dari ibu pejabatnya di China,” katanya.

Demonstrasi aman itu dilakukan kerana mereka turut cuba menghantar surat kepada pelbagai pihak mempunyai kaitan dengan projek LRT3 tersebut.

Namun, sehingga kini didakwa tiada mana-mana sub kontraktor bagi Pakej GS05 dan GS06 menerima sama ada bayaran penuh atau sekurang-kurangnya sebahagian amaun daripada pihak syarikat tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI