fbpx

Baling, Titi Hayun antara 186 kawasan berisiko dibadai kepala air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nor Hisham (tengah) pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penutup Kursus Pengurusan Bencana Peringkat JBPM Negeri Melaka di Pentas Budaya Pantai Puteri, Melaka. -FOTO/ RASUL AZLI SAMAD

MELAKA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mengesan 186 lokasi yang berisiko dibadai fenomena kepala air pada musim Monsun Timur Laut.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya bagaimanapun memberikan tumpuan pemantauan di Kedah termasuk di Baling dan Titi Hayun di kaki Gunung Jerai.

“Kita kesan 186 lokasi yang mana kawasan jeram tersebut masih mempunyai hulu dan berpotensi berlaku fenomena kepala air.

“Bagaimanapun fokus pemantauan dilakukan di kawasan jeram di Baling dan Titi Hayun kerana lokasi itu sering kali dilanda kepala air pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada Majlis Perasmian Penutup Kursus Pengurusan Bencana peringkat negeri yang telah disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di Pantai Puteri dekat sini, hari ini.

Tambahnya, antara lokasi lain yang turut berada dalam radar pemantauan adalah Sungai Gabai, Selangor, namun skala fenomena kepala air di kawasan itu tidak seburuk di Kedah.

Ujarnya, meskipun JBPM sentiasa memantau lokasi-lokasi terlibat, namun orang ramai juga perlu memainkan peranan masing-masing termasuk menyemak ramalan cuaca di portal rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum beriadah ke kawasan berisiko.

“Orang ramai perlu ambil langkah berjaga-jaga, boleh semak dahulu ramalan cuaca sama ada akan berlaku hujan lebat dalam tempoh 24 jam di lokasi tersebut.

“Jika nampak keadaan awan mula hujan di kawasan hulu, jadi keluarlah dari badan air (sungai), itu lebih efektif, bomba juga akan pantau keadaan di sungai-sungai dan mengeluarkan arahan sekiranya perlu,”katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, sebanyak RM3 juta diperuntukkan JBPM bagi membeli pelbagai aset dan logistik menghadapi bencana banjir pada fasa peralihan Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pertengahan November ini.

Ujarnya, antara aset itu adalah 60 buah bot khas banjir di kawasan perbandaran dan 100 unit pencahayaan.

“Keperluan ini telah diagihkan kepada enam buah negeri yang dijangka dilanda banjir besar terutama Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI