fbpx

Lawatan ke UM suntik motivasi murid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAKMAL penyelidikan Fakulti Kejuruteraan UM antara tempat yang dilawati.

SERAMAI 123 murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Langat, Banting, Selangor menyertai lawatan ke Universiti Malaya (UM) pada 23 Ogos lalu.

Lawatan dikenali sebagai Sehari Sebagai Mahasiswa itu diiringi 17 orang guru serta Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Langat, Saiful Adli Suhadak.

Lawatan itu antara lain bertujuan memberi pendedahan awal mengenai bidang kerjaya dan peluang melanjutkan pengajian di peringkat tinggi selepas tamat persekolahan kelak.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sri Langat, Prof. Madya Dr. Rosmadi Fauzi berkata, lawatan berkenaan diharap mampu memberi motivasi kepada murid.

“Mungkin ada yang berasakan pendedahan menerusi lawatan ke UM ini terlalu awal untuk murid-murid yang belum lagi menamatkan sekolah rendah.

“Bagaimanapun, kami percaya usaha ini mampu menyuntik motivasi kepada mereka untuk meneruskan pelajaran dengan sungguh-sungguh di sekolah,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menariknya, ia merupakan lawatan sekolah pertama diterima UM selepas pandemik Covid-19.

Lawatan itu dijayakan dengan kerjasama pelbagai unit dalam UM termasuk Fakulti Seni Kreatif, Pusat Pemasaran dan Pengambilan, Pejabat Komunikasi Korporat, Fakulti Kejuruteraan dan Muzium Seni Asia.

Sukarelawan terdiri daripada mahasiswa jurusan Geografi dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial juga meluangkan masa menjadi fasilitator kepada para peserta program.

Murid SK Sri Langat, Banting mendengar taklimat ringkas mengenai lawatan ke UM.

Dekan Fakulti Seni Kreatif UM, Prof. Dr. Hanafi Hussin memaklumkan, pihaknya sangat gembira dapat menyambut kunjungan murid dan guru dalam lawatan tersebut.

“Kami amat berbesar hati menerima kunjungan peserta pada lawatan ini.

“Menerusi lawatan ini ia secara tidak langsung menunjukkan universiti adalah sebahagian daripada masyarakat.

“Proses pembangunan murid melalui bidang pendidikan diharap mampu memastikan kemajuan masyarakat setempat yang lebih holistik dan menyeluruh.

“Saya doakan mereka, guru-guru, ibu bapa, dan semua warga SK Sri Langat terus maju jaya dalam usaha mendidik dan membina sahsiah anak-anak ini,” katanya.

Lawatan itu diisi dengan ucapan alu-aluan oleh Dekan Fakulti Seni Kreatif dan pengenalan mengenai universiti berkenaan oleh Pengarah, Pejabat Komunikasi Korporat, Prof. Madya Dr. Nahrizul Adib Kadri.

Pada masa sama, para peserta turut dibawa melawat ke makmal-makmal penyelidikan di Fakulti Kejuruteraan dan Muzium Seni Asia, selain diberi peluang menikmati jamuan tengah hari di dalam Dewan Tunku Canselor (DTC).

Guru Besar SK Sri Langat, Ruslan Lebai Yakub memaklumkan, pihaknya sangat teruja kerana mendapat layanan cukup istimewa daripada pihak UM sepanjang sehari berada di sana.

“Saya difahamkan peluang menjamu selera di dalam DTC amat jarang diperoleh kerana dikhususkan untuk acara rasmi universiti sahaja seperti istiadat konvokesyen.

“Ini pastinya akan menjadi memori indah kepada semua murid terlibat dan menambahkan semangat pelajar untuk menjejakkan kaki ke universiti pada satu hari nanti,” jelasnya.

Ruslan memaklumkan, SK Sri Langat merupakan salah sebuah sekolah kluster kecemerlangan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Kesenian.

Jelasnya, pendedahan awal kepada bidang gunaan seperti kejuruteraan dan koleksi unik di muzium sepanjang lawatan tersebut amat membantu dalam proses pembelajaran mereka nanti.

“Walaupun program ini agak singkat dan hanya sebahagian UM sahaja yang sempat dilawati, namun saya percaya, objektif program telah tercapai apabila melihat riak wajah gembira murid-murid.

“Saya pasti keletihan yang dirasai dalam perjalanan jauh dari Banting ke ibu kota telah terubat apabila menjejakkan kaki ke kampus UM buat pertama kalinya dalam hidup mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI