fbpx
NORAINI (kiri) dan Salmiah menunjukkan cendol sagu rumbia yang siap untuk dimakan.-MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

Keenakan cendol sagu rumbia Lenggong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Tekstur yang kenyal serta keenakannya apabila dimakan bersama santan, air gula merah dan air batu menjadikan cendol sagu rumbia sebagai pilihan menghilangkan dahaga ketika musim panas oleh penduduk di sekitar Lenggong, Perak.

Malah, cendol yang dihasilkan daripada tepung sagu rumbia ini dikatakan mempunyai khasiat serta kebaikan seperti menyejukkan badan berbanding cendol biasa yang menggunakan tepung beras serta tepung jagung.

Bagaimanapun, penyediaan cendol jenis ini bukanlah mudah kerana ia perlu bermula daripada menebang pokok rumbia bagi mendapatkan sagunya sebelum diparut dan diperah lalu direndam di dalam air dan akhirnya dijemur di bawah cahaya matahari.

Prosesnya yang rumit serta memakan masa menyebabkan ia tidak banyak dijual dan hanya kawasan tertentu sahaja mempunyai pencuci mulut yang dianggap unik oleh sesetengah individu ini.

Bagi dua sahabat, Noraini Osman, 61, atau lebih dikenali sebagai Mak Ani dan Salmiah Bakri, 67, yang lebih mesra disapa Mak Lang, makanan berasaskan sagu rumbia merupakan sebahagian daripada hidup mereka sejak kecil.

Lantaran itu, Noraini dan Salmiah mengambil keputusan untuk bersama-sama menghasilkan makanan berasaskan sagu rumbia seperti kuih bakar, kuih kole serta cendol sagu rumbia agar ia dapat dinikmati generasi hari ini.

Dua sahabat baik yang tinggal di Kampung Bagan Chepor, Lenggong ini telah mengusahakan pembuatan cendol sagu rumbia sejak tahun 2000 sehingga kini.

Menurut Noraini, cendol sagu rumbia berasal daripada tepung sagu yang diambil dari dalam batang pokok rumbia dan dimasak bersama air di atas dapur api sebelum ditekan di atas acuannya dan dibiar mendidih sehingga masak.


NORAINI merendam cendol sagu rumbia yang sudah masak ke dalam air sejuk sebelum boleh dimakan.

Katanya, bagi mendapatkan tepung sagu, dia dan Salmiah perlu mencari pokok rumbia yang sudah matang untuk ditebang.

Ia dipotong kepada beberapa bahagian sebelum kulitnya dikupas bagi memudahkan mereka mengambil sagu di dalamnya.

“Kami kemudian memotong sagu menjadi kecil dan memarutnya serta dicampur sedikit air sebelum diperah menggunakan kain putih nipis sebagai penapis.

“Air daripada perahan tersebut akan dibiarkan di dalam besen beberapa jam untuk ia mendap ke dasar bekas .

“Kemudian kami menyalin airnya melebihi enam kali dalam tempoh dua hingga tiga hari sehingga jernih.

“Setelah itu, kami mengambil perahan sagu rumbia yang mendap di dasar bekas dan diambil menggunakan senduk besi untuk diletak di atas kain bersih.

“Ini bagi memudahkan proses menjemur sagu tersebut untuk dijadikan tepung,” katanya.

Menurut Noraini lagi, sagu rumbia berkenaan perlu dijemur di bawah cahaya matahari dan prosesnya memakan masa sehingga seminggu jika cuaca panas.

Sekiranya cuaca hujan dan mendung, proses menjemur boleh memakan masa sehingga dua bulan.

“Saya masih ingat masa kami mula-mula buat cendol sagu rumbia ini satu ketika dahulu, belum ada mesin. Semua kerja menggunakan tenaga sendiri dan alat seperti pemarut isi sagu rumbia pun kami buat.

“Bila sudah ada mesin parut seperti sekarang, mudahlah sedikit kerja kami. Kini hanya perlu tebang pokok, ambil isi dan jemur tepung sagu yang telah diproses,” katanya.

Sementara itu, Salmiah berkata, dia dan Noraini mula membuat cendol sagu rumbia bersama-sama selepas mereka berkongsi kisah membesar di kampung dengan tepung sagu rumbia merupakan makanan ruji mereka satu ketika dahulu.

SALMIAH menunjukkan proses membuat cendol dari tepung sagu rumbia yang sudah di masak di atas dapur api.

“Kami membesar dengan makan tepung sagu rumbia. Zaman dahulu nak beli tepung gandum mahal, jadi ibu bapa kami tebang pokok rumbia, ambil sagu dan proses jadi tepung.

“Kemudian tepung sagu inilah digunakan untuk buat lepat, lempeng pisang, kuih bakar, kuih-muih tradisional, cendol dan juga ambuyat yang dimakan bersama ikan dan sayur.

“Kemudian kami cuba menghasilkan tepung sagu rumbia berdasarkan pengalaman masa membesar. Apabila sudah berhasil, kami ambil keputusan untuk menjual cendol sagu rumbia kepada penduduk kampung dan sekitar pekan Lenggong,” katanya.

Ujarnya, mereka menjual isi cendol sagu rumbia yang tidak dibancuh dengan santan dan air gula dalam paket pada harga RM2 sebungkus yang kemudiannya dinaikkan kepada RM3 beberapa tahun selepas itu.

“Suami saya pula akan bawa membawa cendul sagu rumbia dengan motosikal untuk menjualnya dari rumah ke rumah di sekitar kampung dan beberapa kawasan lain di Lenggong.

“Alhamdulillah, sambutan yang diberikan penduduk amat luar biasa dan cendol yang dijual habis dalam masa singkat,” katanya.

Bagaimanapun menurut Salmiah lagi, pada masa kini dia dan Noraini terpaksa menghentikan jualan isi cendol yang dihasilkan dari rumah ke rumah ekoran kekurangan tepung sagu rumbia dan hanya digunakan bagi tujuan pelancongan di kampung berkenaan.

Katanya, kekurangan pokok sagu rumbia akibat dimakan oleh gajah liar yang sering memasuki kampung mereka menyebabkan kedua-dua sahabat baik ini tidak dapat menghasilkan tepung sagu yang banyak dan ia kini terhad.

POKOK rumbia yang digunakan untuk membuat cendol sagu rumbia di Kampung Bagan Chepor, Lenggong.

“Bermula pada 2019, kami mengkomersialkan pokok rumbia sebagai salah satu aktiviti dan tarikan pelancong di kampung ini termasuklah aktiviti menganyam atap rumbia dan pembuatan cendol sagu rumbia.

“Kami diperkenalkan oleh Abdul Nasir Jalaluddin (pemilik Rumah Tiang 16, Lenggong) kira-kira tiga tahun lalu berkenaan potensi pohon rumbia yang boleh menjadi tarikan pelancong dan alhamdulillah, ia berjaya sehingga hari ini,” ujarnya.

Noraini dan Salmiah boleh dikatakan sebagai pembuat cendol sagu rumbia yang paling menonjol di Lenggong.

Sering kali pengusaha inap desa dan pihak jabatan kerajaan membawa pelancong datang untuk melihat demonstrasi membuat cendol sagu rumbia di dangau rumah.

Dalam hal ini, Noraini menambah, cendol sagu rumbia yang dihasilkan bukan sahaja dirasai oleh pelancong tempatan, malah turut diberikan kepada orang luar seperti dati Afrika, Jepun, Australia, New Zealand dan beberapa negara lain.

“Kebanyakan pelancong luar negara dibawa oleh Nasir.

“Dia tetapkan hari dan masa untuk pelancong-pelancong belajar cara menyediakan cendol sagu rumbia dan merasai keenakannya, di samping merasai suasana kampung.

“Bila kami lihat mereka begitu gembira mempelajarinya dan bertambah minum cendol sagu rumbia ia memberikan satu kepuasan.

“Ini kerana, ia memberi pengalaman yang mungkin dirasai sekali seumur hidup,” katanya.

Nampak sedap cendol sagu rumbia, bila boleh nikmati rasanya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN