fbpx
Honey (dua dari kanan) dan Daniel beramah mesra bersama rakan-rakan yang menghadiri majlis perkahwinan mereka di surau Sutera Prima, di sini hari ini. /FOTO SITI NUR MAS ERAH AMRAN

Kenduri pasangan pengantin Cina mualaf meriah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBERANG PERAI – Kemeriahan majlis perkahwinan pasangan Cina mualaf di surau Sutera Prima, Seberang Jaya hari ini dirancakkan dengan kehadiran tetamu berbilang kaum termasuk dari Amerika Syarikat dan Jerman.

Bagi pasangan raja sehari, Daniel Chew,35, dan isterinya, Honey Ng,37, kedua-duanya ternyata terharu kerana kehadiran beberapa rakan baharu yang sama membantu memastikan kelancaran majlis.

Honey berkata, dia mengenali Daniel sejak 10 tahun lalu ketika mereka berdua bekerja di sebuah kilang kain di Perai.

“Walau bagaimanapun, hubungan kami terputus hampir lapan tahun sebelum bertemu semula awal tahun ini.

“Daniel terbuka hati untuk mendalami Islam dan kami sama-sama belajar di IDT Centre, Permatang Pauh kerana walaupun saya memang beragama Islam, masih banyak yang perlu saya pelajari sebelum mendirikan rumahtangga.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak surau atas kesudian menguruskan majlis yang amat bermakna buat kami berdua,” katanya.

Sementara itu, bagi Pengerusi kariah, Khairul Anuar Ishak pula memberitahu, majlis sedemikian menjadi salah satu usaha dakwah sekali gus mengubah persepsi kaum lain terhadap agama Islam.

“Ini bukan kali pertama kami anjurkan majlis perkahwinan dan program keramaian membabitkan pelbagai kaum dalam kalangan penduduk di kawasan kejiranan ini.

“Kita mahu ubah mentaliti masyarakat dengan menunjukkan keterbukaan surau dan masjid menerima tetamu bukan Islam,” katanya. KOSMO! ONLINE.

POPULAR