fbpx

Disangka guruh, rupanya komponen enjin Boeing 747 hempap rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ENJIN jet meninggalkan serpihan di halaman rumah pasangan itu. - Herve Rigot / Facebook

BRUSSELS – Sepasang suami isteri warga emas di Belgium nyaris terbunuh apabila komponen enjin pesawat jumbo jet yang meletup, jatuh dan menghempap bumbung rumah mereka, lapor akhbar Daily Star semalam.

Louis dan Domenica Demaret mendengar bunyi pesawat terbang lebih rendah daripada biasa semasa berada di rumah mereka dekat bandar Liege pada Khamis lalu.

Mereka kemudian mendengar bunyi letupan kuat, namun Louis menyangka ia adalah bunyi petir. 

“Pada satu ketika, saya mendengar bunyi pesawat dan diikuti bunyi letupan. Saya keluar untuk melihat apa yang berlaku dari pintu hadapan. Alat penggera mula berbunyi kerana rumah masih bergegar,” kata Domenica kepada saluran berita Belgium RTBF.

Domenica tidak melihat apa-apa ketika meninjau di luar lalu masuk semula ke dalam rumah. Bagaimanapun, cucu lelakinya terus tidur ketika insiden bunyi bising itu walaupun katilnya berada di tingkat atas.

Wanita itu kembali ke katil tetapi tidak dapat tidur pada malam itu. 

Keesokan paginya, salah seorang jiran menghampiri mereka dan bertanya: “Adakah kamu melihat serpihan di taman kamu?”

Ketika itu mereka menyedari sebahagian daripada enjin pesawat jumbo jet telah menghempap bumbung rumah mereka. Hanya sedikit kerosakan ditemui pada jubin dan rangka garaj rumah itu.

Pesawat Boeing 747 milik Air Atlanta itu dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang Liege menuju ke Malta apabila bahagian hud enjinnya tercabut. Pesawat itu bagaimanapun berjaya meneruskan penerbangannya ke Malta di mana kerosakan tersebut sedang dibaiki.

Jurucakap lapangan terbang, Christian Delcourt mengesahkan bahawa enjin itu rosak sejurus selepas berlepas sekitar tengah malam kelmarin.

Pasangan itu kemudian menghubungi polis tempatan yang mendapatkan bantuan pasukan bomba dan Lapangan Terbang Liege untuk mengeluarkan sisa serpihan. Siasatan lanjut dilancarkan tentang bagaimana enjin pesawat itu boleh  tercabut. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI