fbpx

Trio dinamik kendalikan AIM23

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sherry Alhadad, Awal Ashaari dan Azad Jasmin selaku hos yang bakal menghangatkan malam kemuncak AIM 23 pada Ahad ini.

MALAM kemuncak Anugerah Industri Muzik Ke-23 (AIM23) yang dijadualkan berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 11 September ini bakal menyaksikan gandingan tiga hos, Sherry Alhadad, Awal Ashaari dan Azad Jasmin.

Selepas lima tahun tertangguh, majlis pengiktirafan khusus buat karyawan seni muzik tanah air tersebut dijangka hangat apabila turut menampilkan barisan artis yang membuat persembahan selain pembabitan wajah popular selaku penyampai trofi.

Bertemakan Glam & Sophisticated, AIM23 menyenaraikan aneka persembahan muzik daripada pelbagai genre termasuk pop, rock, dance dan balada sebagai sajian hiburan.

Sebagai pelengkap sudah pasti AIM edisi kali ini menghimpunkan ramai penyanyi bervokal hebat termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Liza Hanim, Ella, Nikki Palikat dan Aina Abdul.

Tidak ketinggalan penampilan persembahan bertenaga penyanyi pelapis berbakat besar termasuk kumpulan De Fam, Janna Nick dan Vanessa Reynold.

Turut memanaskan pentas pada malam penghargaan itu adalah Hafiz Suip, Ernie Zakri, Amir Masdi, Insomniacks, Naufal dan Nuha.

Acara AIM23 anjuran Persatuan Industri Rakaman Malaysia turut menampilkan persembahan penyanyi Indonesia, Keisya Levronka.
Penonton di rumah juga berpeluang mengikuti perjalanan majlis bersejarah tersebut bermula dari acara karpet merah yang menyaksikan perhimpunan ramai selebriti tanah air.

Detik ketibaan barisan artis di karpet merah pula akan dikendalikan Keanu Azman dan Isha Norsham.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM23, Rosmin Hashim, penilaian teliti dilakukan bersama Astro selaku penyiar rasmi bagi memilih barisan artis untuk persembahan dan penyampai trofi.

“Kami mengadakan pemilihan sangat teliti selepas AIM ditangguhkan selama lima tahun supaya penonton berpuas hati persembahan malam kemuncak.

“Trio dinamik, Sherry, Awal dan Azad dipilih selaku hos kerana kami yakin kemampuan menghiburkan dan menyuntik elemen lawak jenaka.

“Mereka bijak menggunakan pentas terbuka itu dengan karakter dan celoteh sekali gus membuatkan penonton tidak kering gusi.

“Kami yakin pengalaman mengendalikan pelbagai acara besar serta program secara langsung sebelum ini mampu menghidupkan suasana,” katanya.

Antara penggiat seni yang bakal menggalas tugas sebagai penyampai trofi pula ialah Datuk M. Nasir, Ziana Zain, Khai Bahar, Wany Hasrita, Jaclyn Victor dan Datuk Adi Putra.

Sementara itu, tahun ini penganjur menerima 650 penyertaan karya muzik pelbagai genre yang kemudian melalui tapisan ketat untuk memilih 105 finalis bagi 21 kategori dipertandingkan.

Antara kategori adalah Artis Baharu Terbaik; Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki); Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita); Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Berkumpulan) dan Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu.

Turut dipertandingkan Kulit Single/ Album Terbaik; Rakaman Lagu Terbaik; Rakaman Album Terbaik dan Video Muzik Terbaik.

AIM23 disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mulai jam 9 malam menerusi Astro Ria. Penyertaan AIM23 dibuka kepada karya yang dihasilkan dalam tempoh satu setengah tahun bermula 1 Januari 2021 sehingga 30 Jun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI