fbpx

MacKenzie Hynard menang peringkat ketiga, Aimi Ayumi lonjak tempat kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HYNARD (barisan belakang, tengah) ceria selepas menaiki podium juara peringkat ketiga perlumbaan kanu POPIC 2022 di Pantai Balok, Kuantan.

KUANTAN – Selepas dua hari membayangi juara dunia empat kali, MacKenzie Hynard tersenyum lebar hari ini apabila berjaya memintas Dawid Mocke untuk memenangi peringkat ketiga perlumbaan kanu Pahang Ocean Paddle International Challenge (POPIC) 2022 di Pantai Balok di sini.

Peminat tempatan pula boleh berasa teruja menjelang dua perlumbaan terakhir nanti apabila pendayung kebangsaan Aimi Ayumi Azwan melonjak ke kedudukan kedua keseluruhan bagi acara wanita.

Persaingan antara pendayung lelaki mengulangi persaingan sengit dalam dua peringkat awal di Rompin dan Pekan, namun kali ini Hynard dari Australia yang lebih dulu menamatkan kayuhan sejauh 13 kilometer dengan masa satu jam, 06:25.47 saat.

Juara dunia 2009, 2010, 2011, 2012, Mocke tercicir di tempat ketiga apabila turut dipintas oleh Kent Jenkinson yang menamatkan perlumbaan dengan masa 1’06:35.41s, manakala jaguh Afrika Selatan itu menamatkan perlumbaan dengan masa 1’06:40.04s.

Mocke bagaimanapun masih mendahului dalam kedudukan keseluruhan selepas tamat tiga peringkat, manakala Jenkinson dari New Zealand kedua. Hynard pula berkedudukan ketiga tetapi kemenangannya hari ini pasti menambah semangat untuknya memintas dua perlumba di hadapannya.

“Perlumbaan hari ini sangat sukar. Dua hari pertama memang mengejutkan saya, dengan cuaca panasnya, angin dan sebagainya.

“Tetapi mungkin saya telah dapat menyesuaikan diri dengan cuaca panas. Saya juga terus berkata kepada diri saya supaya percaya dengan kebolehan diri sendiri dan terus berkerja keras hingga ke garisan penamat,” katanya, yang digelar Big Macca.

Mengenai peluangnya untuk memintas ke kedudukan teratas keseluruhan Hynard berkata dia akan menggunakan dua perlumbaan terakhir nanti untuk mengurangkan jarak masa.

“Dua pelumba di hadapan saya pastinya akan berusaha untuk kekal, apa yang boleh saya buat ialah berusaha sekuat mungkin dalam dua hari terakhir ini untuk merapatkan jurang masa,” katanya.

Hynard turut menganggap POPIC 2022 sebagai perlumbaan terbaik dari segi penganjuran untuk acara yang panjang seperti ini.

“Tidak pernah saya lihat penganjuran perlumbaan kanu sebegini besar dan sangat teratur. Pada dasarnya kami tidak perlu berbuat apa-apa selain mendayung, perkara lain selama lima hari ini seperti logistik semuanya diatur dengan baik oleh penganjur,” kata bekas naib juara dunia bawah 23 tahun itu.

MCKENZIE (tengah) muncul juara sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu keseluruhan perlumbaan Peringkat Ketiga POPIC 2022 di Kuantan.

Juara dunia 2019, Danielle McKenzie pula terus mengukuhkan kedudukannya selaku pendahulu keseluruhan acara wanita selepas memenangi peringkat ketiga dengan masa 1’12:10.20s tetapi menyaksikan dua pelumba yang mengekorinya kali ini bertukar tempat.

Aimi Ayuni membuatkan peminat tempatan bersorak apabila berjaya meninggalkan pesaingnya Irin Neegree ketika perlumbaan menuju penghujung dan memintas garisan penamat dengan masa 1’25:42.47s, manakala pendayung dari Thailand itu ketiga dengan masa 1’26:08.32s.

“Strategi saya ialah bermula perlahan hari ini untuk simpan tenaga, apabila melepasi boya kedua baharulah saya mengerah habis-habisan.

“Untuk esok mungkin saya akan guna strategi yang sama, dan kita tengoklah apa yang akan berlaku,” katanya yang mewakili Pahang.

McKenzie yang menjadi pilihan untuk muncul juara wanita, mendahului dalam senarai keseluruhan manakala Aimi Ayuni kedua dengan kelebihan kira-kira dua saat di hadapan Irin.

POPIC 2022, yang bermula di Pantai Hiburan di Rompin, adalah perlumbaan unik untuk peminat kanu. Perlumbaan sebanyak lima peringkat itu akan berakhir di Pantai Teluk Cempedak pada Ahad ini. Perlumbaan peringkat keempat akan berlangsung di Pantai Cherating, Kuantan esok.

Sebanyak 39 pendayung menyertai acara lelaki dan 11 bersaing dalam acara wanita untuk kategori utama.

Perlumbaan ini yang menawarkan hadiah keseluruhan kira-kira RM300,000, dibawakan oleh StageMaker Sdn. Bhd. selaku penganjur dengan kerjasama kerajaan negeri Pahang, Tourism Pahang dan Tourism Malaysia. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI