fbpx

Anak Rimau ‘menggelecek’ di pawagam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELAKON berkaliber, Beto Kusyairy bertindak selaku jurulatih bernama Zainal Abidin dalam filem ARTM.

SEKIRANYA anda peminat sukan bola sepak, naskhah Anak Rimau The Movie (ARTM) mungkin boleh menjadi bahan tontonan terbaik bersama keluarga sempena citi sekolah ini.

Mengetengahkan sukan dalam sebuah naskhah tempatan merupakan percaturan berani pengarahnya, Areel Abu Bakar.

Menerusi filem berkenaan dia berhasrat dapat mengangkat suka bola sepak tempatan di mata dunia dan mempamerkan kehebatan atlet muda kepada masyarakat.

Subjeknya tentang bola sepak tetapi yang berjaya memberi nyawa kepada ARTM ialah barisan pelakonnya seperti Beto Kusyairy, Idan Aedan, Redzwan Adha, Mustaqim Bahadon, Azhan Rani dan Adam Corrie.

Bukan itu sahaja, naskhah terbitan Keeklr Films Sdn. Bhd. berkenaan turut dibintangi barisan atlet muda dari Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) yang mewakili sebelas pemain utama dalam pasukan dalam ARTM.

Menurut penerbitnya, Fadzil Manap, ARTM mampu memberi kelainan kepada peminat filem tanah air yang ingin lari daripada genre kebiasaan lain seperti cinta dan seram.

“Jarang dapat menonton filem yang mengangkat tentang sukan dan inilah detiknya untuk menonton naskhah hebat ini terutama pada bulan kemerdekaan.

“Uniknya filem ini, kami membawa atlet muda negara menjadi pelakon dalam filem ini. Jadi, semua skil dan kehebatan yang dipamerkan di atas padang adalah aksi asli daripada mereka,” katanya.

FiLEM ARTM turut menampilkan atlet muda dari Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari.

Tambahnya, setiap atlet yang terlibat sememangnya sangat mahir dalam sukan tersebut, namun cabaran utama ialah untuk membimbing mereka menjadi seorang pelakon.

“Mereka memang hebat di atas padang tetapi cabaran utama kami ialah untuk menjadikan mereka pelakon yang mempunyai jiwa dan emosi.

“Jadi, kami bimbing mereka menerusi kelas lakonan bersama Fatimah Abu Bakar. Walaupun bukan bidang mereka, semangat yang ditunjukkan sangat mengagumkan.

“Selain itu, penglibatan jurulatih AMD iaitu Osmera Omaro sebagai penasihat atlet muda turut menyuntik semangat mereka sepanjang tempoh penggambaran,” katanya lagi.

Berkongsi lanjut, filem yang menjalani penggambaran di Pahang itu menelan belanja sebanyak RM5.5 juta.

Menjawab mengenai jumlah kos yang agak tinggi, Fadzil memberitahu bajet tersebut diperuntukkan untuk barisan pelakon dan lokasi penggambaran.

“Bajet memang besar, semuanya demi memberi kepuasan kepada pembikin dan penonton filem.

“Kami gunakan ramai pelakon terutama ketika babak di dalam stadium. Kami mahu wujudkan suasana sebenar perlawanan bola sepak yang dihadiri ramai penyokong.

“Semua itu tidak menggunakan efek Computer-Generated Imagery (CGI),” kongsinya.

Katanya lagi, penggambaran filem ini dijalankan sekitar tahun 2018 dan selesai pada Ogos 2019.

Meletakkan harapan yang tinggi, dia berharap ARTM mampu berdiri setanding karya lain dan mendapat tempat dalam hati peminat filem tempatan.

“Saya harap mesej yang hendak disampaikan mampu meroket ke dalam hati penonton. Jalan ceritanya mudah difahami dan sesuai ditonton oleh setiap lapisan umur.

“Semoga dengan adanya filem sebegini, dapat membangkitkan semangat golongan muda untuk sama-sama memajukan bidang sukan tanah air terutama bola sepak,” ujarnya.

KISAH sepasukan atlet bola sepak muda menjadi subjek penceritaan dalam filem ARTM.

Sementara itu, menurut Idan, dia terharu kerana diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai teraju utama.

“ARTM merupakan filem pertama saya sebagai pelakon utama, tugas ini memang berat tetapi syukur semuanya berjalan dengan lancar.

“Barisan pelakon dalam filem ini juga sangat padu. Saya anggap Beto sebagai senior yang tidak kedekut ilmu. Banyak tips lakonan yang dikongsinya kepada saya dan pelakon lain,” tuturnya.

Mengenai cabaran, dia mengakui tidak begitu mahir dalam sukan bola sepak, namun bersyukur kerana mendapat tunjuk ajar daripada barisan atlet lain.

“Sejujurnya saya tidaklah pandai sangat bermain bola sepak tetapi atlet lain banyak mengajar tentang skil dan teknik menggelecek bola dengan baik,” katanya lagi.
ARTM merupakan naskhah yang dihasilkan dengan usaha sama Majlis Sukan Negara (MSN), Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan AMD serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Filem hebat yang ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 1 September lalu itu mengisahkan perjuangan dan semangat barisan anak muda yang terpilih menjadi sebahagian daripada atlet di Akademi Anak Rimau.

Pasukan bola sepak yang diberi nama Anak Rimau itu dibimbing oleh jurulatih hebat, Zainal Abidin lakonan Beto. Walaupun sikapnya agak dingin di atas padang, namun dia tetap disayangi oleh anak-anak didiknya.

Antara pemain AMD yang membintangi filem ini ialah Ahmad Daniel Hakimi, Hanz Daniel Skelchy, Izz Qhuzaidie Mazni Alif Aiman Mohamad dan Ami Haikal Rozmi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI