fbpx
Peluru meriam berada di atas tanah bersebelahan dengan kenderaan tentera Russia yang musnah di padang tidak jauh dari bandar selatan Mykolaiv, Ukraine pada 12 Jun lalu. - AFP

Russia didakwa beli roket, artileri dari Korea Utara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW – Russia dilaporkan sedang berada dalam proses untuk membeli berjuta-juta roket dan peluru artileri dari Korea Utara untuk digunakan dalam peperangan di Ukraine, lapor saluran berita NBC News kelmarin.

Seorang pegawai kanan pertahanan Amerika Syarikat (AS) berkata, keputusan itu menjadi satu petunjuk bahawa sekatan Barat amat menghalang usaha bekalan ketenteraan buat Moscow.

Disebabkan itu, Kremlin mencari bantuan daripada rejim Pemimpin Tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un serta bergantung kepada Iran untuk bekalan tentera. 

Pada bulan lalu, pegawai AS mendedahkan bahawa Russia menerima penghantaran dron keluaran Iran. 

Pesawat kargo Russia turut memuatkan kenderaan udara tanpa pemandu Mohajer-6 dan Shahed selama beberapa hari pada bulan lalu di lapangan terbang Iran serta kemudian mengangkut dron itu ke Moscow, tiga pegawai AS memberitahu NBC News.

Penghantaran itu adalah sebahagian daripada rancangan Russia untuk mengimport ‘ratusan’ dron dari Iran, kata mereka.

Bagaimanapun, dron yang dipindahkan ke Russia mengalami banyak kegagalan, kata pegawai AS. Mereka bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai jenis masalah teknikal berkenaan.

Pencerobohan Russia ke atas Ukraine mencetuskan gelombang sekatan ekonomi daripada Washington dan sekutu-sekutu Eropahnya, meletakkan Moscow dalam kedudukan serupa dengan Iran yang disekat selama bertahun-tahun daripada ekonomi Barat dan sistem kewangan antarabangsa. – Agensi

POPULAR