fbpx

Pemandu lori terima upah RM200 seleweng minyak subsidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mogan ketika memeriksa minyak diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak di Permatang Pauh, Seberang Perai Tengah di sini lewat malam tadi. /FOTO IQBAL HAMDAN

SEBERANG PERAI – Tindakan mencurigakan seorang lelaki ketika mengisi diesel ke dalam lori dipandunya membawa padah apabila dia ditahan di sebuah stesen minyak di Permatang Pauh, di sini semalam.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, A . Mogan berkata, suspek yang berusia 40-an itu ditahan kira-kira pukul 6.45 petang selepas dikesan mengubahsuai tangki minyak berkapasiti 20,000 liter di atas lori terbabit.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati minyak yang diisi dalam tangki asal akan dipam masuk ke dalam tangki tambahan menerusi motor pam dan dianggarkan sebanyak 1,810 liter minyak diesel bernilai RM3,892 telah diisi ketika serbuan dijalankan.

“Siasatan awal mendapati, lelaki terbabit perlu mengisi 2,500 liter diesel menggunakan RM5,000 yang diberi majikannya dan perlu menghantar bekalan diesel itu ke sebuah stor di Sungai Dua sebelum menerima upah RM200.

“Memandangkan kementerian menetapkan pembelian hanya sebanyak 250 liter diesel sehari, lelaki itu akan mengisi diesel di 10 stesen minyak berdekatan dalam lingkungan jarak lima kilometer dan ini adalah stesen keempatnya,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya telah menyita minyak diesel, lori dan tangki minyak yang telah diubahsuai menjadikan nilai sitaan keseluruhan bernilai RM69,192.70.

“Lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori turut mengaku ini adalah kali pertama dia melakukan kerja sampingan terbabit.

“Terdapat juga individu lain yang turut menjalankan kegiatan ini dan pemantauan akan dijalankan siang dan malam bagi membanteras aktiviti penyelewengan minyak diesel ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI