fbpx

Rai Merdeka, dua karya anak Malaysia dalam Netflix

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA babak aksi menarik dalam Kill-Fist, menyaksikan lakonan mantap Sunny Pang (kiri).

DUA pengarah kelahiran Malaysia muncul dengan filem mereka dalam platform penstriman popular, Netflix.

Feisal Azizuddin, pengarah baharu yang perlu diberi perhatian muncul dengan filem bertajuk Ceroboh (The Screaming Sky) yang mengetengahkan genre thriller. Filem yang berdurasi 88 minit tersebut dibawakan oleh Kuman Pictures.

Sementara sutradara kebanggaan Malaysia, James Lee pula tampil dengan filem Kill-Fist yang mempertaruhkan genre thriller dan aksi.

Filem Ceroboh berkisarkan suasana dalam pasca apokalips apabila dunia dilanda makhluk asing (alien) bergelar Penunggu Langit yang mampu mengawal otak manusia.

Enam sahabat berteduh di sebuah bangunan terbiar dan cuba meneruskan kehidupan.

Malangnya, salah seorang terdedah dengan puak makhluk asing dan perasaan curiga di rumah itu membawa ancaman tersendiri.

Sungguh mendebarkan dan khalayak akan terus teruja untuk melihat kesudahan yang terjadi dalam filem tersebut dalam setiap adegan dipaparkan.

Filem yang dinukilkan oleh Chong Keng Fatt tersebut menampilkan Mia Sara Shauki, Kent Tan, Grace Ng, Nia Atasha, Syazani Fikry, Sasidaran dan Charles Roberts sebagai pelakon.

Kill-Fist pula menyorot kisah tentang Zhang, seorang wakil penjual insurans yang berada di ambang perceraian dan kehilangan hak penjagaan anak perempuannya.

Dia juga perlu menjaga bapanya yang menghidap Alzheimer. Maka demi memenuhi keperluan kewangannya, dia menyertai permainan pertarungan bawah tanah.

PELAKON Nia Atasha antara wajah yang menghiasi filem Ceroboh.

Zhang mahir dalam permainan tersebut dan situasi tersebut mengembalikan nalurinya ketika zaman muda. Tanpa diketahui Zhang, semua itu adalah persediaan oleh salah seorang anak perempuan mangsa Zhang, Jean.

Wanita itu menyaksikan bapanya dipukul dengan kejam oleh Zhang dan samsengnya 15 tahun lalu.

Jean kemudian mencipta sebuah permainan untuk meletakkan semua penjahat bersama-sama dan meminta mereka berlawan antara satu sama lain sebagai bentuk hukuman yang muktamad.

Filem arahan pengarah terkenal kelahiran Perak, Malaysia iaitu James Lee tersebut mendapat sentuhan Tan Teck Zee dalam aspek sinematografi.

Malah, filem yang turut menggunakan khidmat lakon layar penulisan skrip oleh James sendiri dilakonkan oleh pelakon-pelakon hebat seperti Sunny Pang, Alan Yun, Koe Yeet, Mike Chuah dan Pearlly Chua.

Naskhah dengan durasi 97 minit berkenaan menyaksikan lakonan Sunny, pelakon aksi yang terkenal dengan peranannya dalam Headshot dan pelbagai filem aksi serantau lain.

Kill-Fist dikatakan filem aksi indie yang memberi penghormatan untuk aksi seni mempertahankan diri era sekitar 1980-an.

Kata James dalam satu temu ramah: “Ini adalah sebuah idea membuat filem aksi seni mempertahankan diri yang tidak masuk akal, seperti filem pada tahun 1980-an dengan tajuk seperti Kill And Kill Again.

“Saya memberikan tumpuan terhadap watak dalam keluarga dan mendapat inspirasi menulis serta mencipta cerita yang ‘menghalalkan’ aksi tersebut.

“Bukannya sekadar membawa aksi untuk tindakan. Apabila kedua-duanya wujud, cerita itu akan memainkan peranan penting dalam filem.”

Aksi, cabaran

Menurut James lagi, halangan terbesar dalam filem berkenaan adalah tentang adegan pergaduhan dan aksi sekitar 10 babak, dengan memaparkan Sunny sendiri melakonkan lapan daripadanya.

Situasi tersebut menjadikan penggambaran mencabar untuk produksi mereka.

“Kami berlatih dan bertemu setiap hari Sabtu bagi membuat koreografi dengan pasukan. Ini benar-benar usaha indie,” tambah James.

Jangan lupa saksikan hasil karya anak tempatan dalam platform Netflix dan pastinya hasil tangan mereka sentiasa membanggakan negara bersempena dengan bulan Merdeka yang kita raikan.

Filem Ceroboh dan Kill-Fist diedarkan oleh MyContent Distribution.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI