KUALA SELANGOR – Ibu kepada pelajar tingkatan empat yang meninggal dunia dalam kejadian kebakaran di sebuah tandas terbiar di Puncak Alam Fasa 3, kelmarin menyifatkan gurauan dua rakan kepada anaknya itu sebagai keterlaluan sehingga meragut nyawa anaknya.
Kejadian menyayat hati itu berlaku kira-kira pukul 2.38 petang kelmarin apabila Muhammad Damin Mikhail Kamsol, 16, ditemui dengan kesan melecur di dalam tandas berkenaan.
Ibu mangsa, Hizanawati Abu Bakar, 48, berkata, dia secara peribadi mempersoalkan tindakan dua remaja itu yang seolah-olah menganggap nyawa anaknya seperti tidak berharga.
“Saya tak tahu cerita sebenar, cuma rakan arwah yang lain beritahu Damin meninggal disebabkan dua rakannya itu bergurau dengan bermain api di tandas.
“Jika benar, saya rasa tak adil untuk arwah, soal nyawa dan kematian tak boleh buat main-main. Mereka bergurau memang tak kena tempat, itu buat saya terkilan,” ujarnya ketika ditemui di kediamannya di Puncak Alam Fasa 3, di sini semalam.

Ujarnya, dia memang mengenali ibu kepada kedua-dua remaja berkenaan, namun tidak begitu rapat.
“Mereka juga tinggal di kawasan ini dan bersekolah di sekolah yang sama. Setakat ini, mereka belum jumpa saya dan saya pula sibuk uruskan jenazah arwah,” ujarnya.
Kakitangan swasta itu berkata, pihaknya akan melihat hasil laporan bedah siasat untuk melihat punca kematian selain menunggu hasil siasatan polis.
Berita berkaitan: Remaja maut terperangkap kebakaran tandas awam
“Jika hasil laporan mengelirukan, saya tidak akan berdiam diri dan akan menuntut keadilan buat Damin. Jika memang benar mereka bergurau dalam insiden itu, ia tidak adil untuk arwah.
“Jauh di sudut hati, saya juga sangat kecewa dan sedih apabila ada yang menuduh anak saya ambil barang terlarang (dadah) sehingga dia tertidur di sofa tandas. Saya tahu anak saya macam mana, rokok pun dia tak hisap,” katanya.
Menceritakan detik kejadian, ibu tunggal itu memberitahu, sebelum kejadian, dia ada meminta arwah ke klinik untuk mencuci luka pada dua jari tangannya yang terkena serpihan kaca ketika menaiki motosikal.
Berita berkaitan: Remaja mati dalam tandas, polis siasat sebabkan kematian tanpa niat
“Sebelum keluar, dia tanya sama ada saya ada masak atau tidak sebab arwah teringin nak makan sambal ikan kembung.
“Saya tak sangka itu permintaan terakhir arwah, lebih memilukan dia tak sempat pun nak rasa masakan saya, tahu-tahu dia pula yang pergi meninggalkan saya,” ujarnya.
Menurutnya, sebelum keluar rumah, arwah juga sempat membawa bekalan ubat dan memaklumkan mahu singgah di sebuah restoran sebelum ke klinik.
“Saya mengesyaki arwah makan ubat di restoran sebelum dia rasa mengantuk (kesan ubat) menyebabkan dia singgah di sebuah tandas bersama dua rakan dan dia tertidur di situ,” ujarnya.
Hizanawati memberitahu, walaupun anak kelima daripada enam beradik itu meninggal dunia dalam kebakaran, namun jenazahnya masih sempurna.
“Arwah tidak rentung sebaliknya hanya melecur sedikit. Mungkin arwah lemas akibat asap semasa kejadian,” ujarnya.
Dalam pada itu, ujar Hizanawati, kematian arwah ini merupakan kehilangan ketiga yang berlaku dalam keluarganya selepas dia kehilangan suami dan anak kedua pada tahun 2019.
















