ORANG-ORANG tua selalu berpesan agar cepat masuk ke rumah pada waktu senja dibimbangi terkena sampuk dengan anak jin yang baru keluar bermain.
Ada yang memandang sinis, ada yang mendengar nasihat tersebut.
Bagi seorang pekerja sawata dari Tanjong Karang, Selangor, Razzi Mohd.Noor, 50, nasihat itu ada kebenarannya kerana dia sendiri pernah mengalami pengalaman menyeramkan di rembang senja.
Bercerita kisahnya itu, dia berkata, ia berlaku lima tahun lalu ketika bekerja di syarikat percetakan di Shah Alam dan ia memberi kesan kepada dirinya sehingga ke hari ini.
Menurutnya, pada masa itu, kira-kira pukul 6.30 petang, ada lima pekerja yang masih berada di situ sambil bergurau senda berkaitan topik pasukan bola sepak kegemaran.
“Macam biasa, jika pasukan bolasepak Liga Perdana Inggeris yang diminati menang, saya akan mengutuk kawan yang menyokong pasukan yang kalah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Katanya, akibat leka berbual petang itu, tidak sedar jam di dinding sudah menghampiri pukul 7.20 malam.
Ketika itu dia terasa hendak membuang air kecil dan terus ke tandas di belakang pejabat yang agak sunyi.
“Sambil ketawa riang, saya pun menuju ke tandas dengan segera takut terkencing dalam seluar.
“Saya sempat menjeling ke arah luar tingkap, suasana senja sedang menghampiri malam namun azan Maghrib belum kedengaran,” katanya.
Setelah masuk ke tandas, Razzi berkata, dia menutup pintu tanpa dikunci.
Sedang dia membuka zip seluar dan mula membuang air, tiba-tiba satu suara perempuan muda
kedengaran di penjuru kanan tandas tersebut.
“Pada mulanya saya ingatkan telefon saya yang berbunyi. Mungkin ada rakaman audio atau video yang terpasang secara tidak sengaja.
“Setelah diamati, suara tersebut datang dari penjuru kanan dalam tandas itu. Suara itu berbunyi: “Abang boleh tolong adik,”katanya.

Katanya, setelah yakin suara itu bukan daripada telefon pintar miliknya, dia terus menyelesaikan hajat dan bergegas keluar.
Ketika itu, ujarnya, dia berlari ke bahagian depan pejabat dengan muka pucat lesi.
“Kawan-kawan ingat saya masih dalam mood bergurau. Mereka ada yang cakap, mengapa muka macam nampak hantu.
“Saya beritahu mereka apa yang saya alami dan kesemua mereka sudah mula berasa seram setelah mendengarnya,” ujarnya.
Razzi menjelaskan, selepas mengemas barang di meja dan menutup komputer, dia dan kawan-kawannya segera meninggalkan pejabat.
“Malam itu juga saya demam hingga ke pagi dan isteri berkata, saya meracau dalam tidur dengan menyebut beberapa patah perkataan.
“Antara perkataan yang disebut: “Abang nak bantu macam mana…nak bantu macam mana,” katanya.
Sejak peristiwa menyeramkan itu, bila senja menjelang saya dan kawan-kawan segera menghabiskan kerja sebelum pulang ke rumah.
Kejadian menyeramkan itu tidak terhenti di situ kerana beberapa bulan selepas itu, ia berlaku kepada seorang rakan Razzi yang sedang menyelesaikan kerja di pejabat pada satu senja.
Katanya, pintu jeriji pejabat digegar dari luar seolah-olah ada seseorang hendak memasuki pejabat yang berkunci.
“Masalahnya tiada siapa di luar pada masa itu. Kawan saya terus menutup komputer dan beredar dari pejabat,”katanya.
Tidak lama selepas kejadian itu kata Razzi, pada satu senja gangguan misteri tersebut muncul lagi di pejabat berkenaan ketika seorang rakan berbual dengan kawannya yang berada di United Kingdom (UK) melalui aplikasi Skype.
Katanya, rakannya di UK tiba-tiba bertanya, siapa yang berdiri di belakang pada ketika itu.
Ketika itu juga, rakan Razzi menoleh ke belakang, tetapi tiada sesiapa yang berdiri, melainkan hanya ada dinding pejabat.
“Tanpa berlengah, kawan saya dengan kelam-kabut terus beredar dari pejabat,”katanya.














