fbpx

Kejutan Adi Putra, hadir ke Jakarta, dijemput pihak lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DATUK Adi Putra dan Johan As'ari kini berada di Jakarta untuk malam gala filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.

PETALING JAYA – Berkali-kali bertegas dengan pendirian enggan menyertai Malam Gala Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan di Indonesia, Datuk Adi Putra akhirnya lembut hati apabila membuat kejutan tiba di Jakarta, hari ini.

Kata bintang utama filem epik itu, kedatangannya adalah atas undangan CBI Pictures Indonesia selain rakan seperjuangan Yayan Ruhian serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).

“Terima kasih CBI Pictures Indonesia, Yayan Ruhian dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) kerana menjemput saya dan Johan As’ari ke Malam Gala Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan, di sini,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram, hari ini.

Pada masa sama, pemegang watak utama naskah epik itu berharap filem yang bakal ditayangkan di Indonesia bermula 31 Ogos ini diterima baik penonton.

“Semoga dipermudahkan. Semoga warga Indonesia memberi sambutan baik dengan hati dan tangan terbuka.

“Allah Maha Kaya, kebangkitan pahlawan, kebangkitan pejuang dan taat kepada yang Satu,” katanya.

Adi merakamkan video ketibaanya bersama seorang lagi aktor terbabit dalam produksi terbitan Kembara Studio Sdn Bhd, Johan As’ari.

Sebelum ini berlaku salah faham antara pelakon tersebut dengan pihak pengurusan Kembara Studio yang didakwa penerbit hanya disebabkan isu komunikasi.

Selepas itu menerusi wawancara dengan media, Adi menyatakan hanya akan menyertai rombongan berkenaan jika mendapat jemputan daripada pengedar di Indonesia.

Sementara itu, Johan pula menerusi entrinya berkata, dia berterima kasih kepada Adi kerana menaja perjalanan, penginapan serta makan minumnya sempena kunjungan ke Jakarta.

Pemegang watak Yasin itu sebelum ini pernah menyatakan rasa terkilan dan pelik kerana digugurkan daripada delegasi ke Jakarta.

Tindakan Johan meluahkan rasa berat hati andai Adi tidak turut serta, dianggap menjadi alasan pengguguran namanya oleh Kembara Studio untuk sama-sama diterbangkan ke malam gala di negara republik berkenaan.

Namun seperti Adi, Johan juga sanggup memeriahkan acara berkenaan sekiranya mendapat jemputan pihak pengedar di Jakarta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI