fbpx

Tanah kubur Islam Bestari Jaya semakin padat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kawasan Tanah Perkuburan Islam Bestari Jaya yang semakin padat.

KUALA SELANGOR – Ribuan penduduk Bestari Jaya di sini, menggesa kerajaan Selangor menyelesaikan isu Tanah Perkuburan Islam Bestari Jaya yang didapati sudah padat dan terhad.

Perkuburan itu memerlukan tanah baharu kerana boleh menampung pengebumian hanya enam jenazah ketika ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd. Shaid Rosli berkata, masalah itu perlu segera diselesaikan bagi mengelak sebarang kesulitan urusan pengebumian jenazah.

Katanya, tinjauan mendapati tanah perkuburan itu hampir penuh sehingga menghampiri pintu pagar utama kawasan berkenaan.

“Penyediaan kawasan tanah baharu sememangnya amat mendesak dan memerlukan perhatian kerajaan negeri.

“Ia bagi memastikan proses pengurusan jenazah dapat dilaksanakan dengan mudah dan tanpa halangan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Kenduri Rakyat Percuma di sebuah restoran di Puncak Alam di sini, malam tadi.

Jelas Mohd. Shaid, isu itu boleh ditangani sekiranya tanah seluas 1.6 hektar berdekatan perkuburan itu diwartakan sebagai kawasan baharu.

“Perkara itu sudah dimaklumkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni untuk tindakan lanjut.

“Pihak jabatan berkuasa berkaitan memaklumkan isu itu akan diselesaikan dengan berusaha mencari tapak bersesuaian bagi pengebumian jenazah,” katanya.

Sementara itu, penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Azlin, 48, berkata tanah perkuburan berusia puluhan tahun berkenaan didapati mula penuh sejak beberapa bulan lalu.

“Kami bimbang jumlah jenazah akan meningkat dalam masa terdekat sedangkan hanya enam yang boleh dikebumikan di kawasan itu.

“Justeru, langkah segera perlu dilakukan bagi memudahkan urusan pengebumian jenazah penduduk setempat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI