fbpx

Adi, Studio Kembara, harap ada penyelesaian – Beto Kusyairy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BETO berharap Afi Putra dan pihak penerbit filem Mat Kilau dapat selesaikan konflik yang berlaku,

KUALA LUMPUR – Pelakon terkenal Beto Kusyairy berharap persengketaan antara aktor Datuk Adi Putra dengan syarikat penerbit filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Studio Kembara tidak berlarutan dan menemui titik penyelesaian satu hari nanti.

Beto, 42, yang juga memegang watak Wahid dalam filem epik tersebut turut berharap masalah komunikasi antara mereka tidak diburuk-burukkan lagi dengan campur tangan pihak lain.

Diminta mengulas isu tersebut, isu tersebut perlu dijernihkan semula memandangkan industri seni tempatan terlalu kecil dan pasti akan bersua muka satu hari nanti.

“Bagi saya, perkara yang keruh, jangan keruhkan lagi suasana. Jernihkannya semula.

“Sebab industri seni kita kecil sahaja. Bila pusing-pusing, akan jumpa orang yang sama juga,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui selepas sidang akhbar filem Anak Rimau The Movie di sini semalam.

Tambah pemilik nama penuh Nur Kusyairy Zakuan Osman itu lagi, dia juga mahu kedua-dua belah pihak dapat menyelesaikan sebarang salah faham antara mereka dengan cara yang sepatutnya.

“Mudah-mudahan akan ada penyelesaian yang baik dan akan jumpa kejernihan sepatutnya.

“Itu saja harapan saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, dia juga memberitahu tidak dapat menghadiri tayangan gala filem Mat Kilau di Indonesia kerana kekangan kerja.

“Saya tidak dapat menyertai mereka ke sana dan sudah maklumkan kepada pihak produksi.

“Namun, saya doakan agar karya tersebut mendapat sokongan di sana ditambah pula ada pelakon hebat Indonesia turut terlibat iaitu Yayan Ruhian.

“Harapnya dengan usaha membawa karya tempatan ke sana, dapat memberi pendedahan kepada produk dan pelakon tanah air di negara luar,” katanya lagi.

Pada 12 Ogos lalu, Adi atau nama penuhnya Mohamed Hadi Putera Halim yang melakonkan watak utama sebagai Mat Kilau memuat naik hantaran dalam Instagramnya berbaur sindiran terhadap pihak produksi filem yang sukar dicari.

Dia juga menyuarakan hasratnya untuk menghadiahkan telefon bimbit kepada pihak Studio Kembara selepas didakwa sukar untuk dihubungi.

Bintang filem terkenal kelahiran Singapura itu mendakwa terpaksa memilih media sosial agar ‘mesej’ yang ingin disampaikan dapat diterima Studio Kembara.

Bagaimanapun, penerbit filem, Abdul Rahman Mt Dali menafikan berlaku salah faham antara pihaknya dengan Adi hingga aktor itu memuat naik hantaran sinikal dalam Instagram.

Masih kecil hati, dia juga berpegang teguh dengan prinsipnya enggan hadir ke tayangan gala filem epik, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang dijadualkan berlangsung esok di Jakarta, Indonesia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI