PETALING JAYA – “Walaupun subjek yang saya kuasai di sekolah menjurus kepada bidang perubatan, namun saya rasa bidang kemahiran elektrik dan elektronik mempunyai peluang kerjaya yang lebih luas.”
Itu reaksi Muhammad Khairul Rizki Mohd. Alias, 18, yang tekad melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik setelah memperoleh keputusan 5A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.
Katanya, meskipun berjaya menguasai subjek Biologi dan Kimia di sekolah, pilihan untuk menerokai bidang ilmu kemahiran lebih diutamakan kerana melihat potensi kerjaya yang tinggi di pasaran ketika ini.
“Kemahiran yang tinggi dalam sektor ini seperti menjadi keperluan utama negara dan pastinya tawaran kerja juga banyak untuk diisi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sementara itu, Amerudeen Azmi, 18, pula merasakan kebanyakan pelajar beralih ke aliran lain selain sains tulen adalah kerana mereka telah terbeban dengan subjek-subjek yang dipelajari selama ini.
“Terdapat segelintir pelajar yang tidak tahan untuk menanggung seksaan penyakit mental seperti stres dan juga kemurungan ketika menjalani sesi pembelajaran di sekolah melibatkan mata pelajaran yang berat seperti Kimia dan juga Matematik Tambahan.
“Bukan itu sahaja, pelajar juga berkemungkinan sudah bosan dan merasakan diri mereka lebih cenderung untuk melanjutkan pengajian ke arah kreativiti dan kemahiran yang tinggi,” ujarnya.
Bagi Amerudeen, dengan keputusan 5A, 3B+ dan 1C+, dia telah memilih bidang reka bentuk grafik sebagai pilihan jurusan di peringkat universiti.
“Memiliki kemahiran dan kretiviti akan lebih disukai majikan dan sudah pastinya, menceburi diri dalam industri kemahiran akan lebih menjamin masa depan,” katanya.














