fbpx

Hukuman sebat terlalu kejam dan tidak berperikemanusiaan – Wan Junaidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Junaidi ketika berucap pada Majlis Simposium Keluarga Malaysia ‘Pencapaian dan Harapan’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyifatkan hukuman sebatan yang digunapakai ketika ini dilihat terlalu kejam, keterlaluan dan tidak berperikemanusiaan.

Justeru, pihaknya bersama dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang mengkaji hukuman alternatif bagi menggantikan hukuman itu dan pindaan mengenainya akan dibentang ke Parlimen pada sesi Dewan Rakyat, Oktober depan.

“Saya melihat sebatan sehingga 15 kali itu sebagai keterlaluan. Jadi, dalam keadaan demikian saya hendak kaji secara holistik bersama dengan pihak-pihak tertentu mengenai hukuman itu.

“Hukuman sebatan ini kita warisi daripada pihak kolonial dulu, jadi kenapa kita mesti kekalkan perkara ini. Kenapa orang di Malaysia kena sebat, kenapa di England tidak disebat,” katanya ketika ditemui selepas berucap pada Simposium Keluarga Malaysia di sini, hari ini.

Wan Junaidi berkata, beliau berpandangan soal sebatan itu patut dikaji semua malah, dasar transformasi penjara dan kehakiman perlu melihat semula perkara tersebut disamping melihat hukuman gantian kepada undang-undang mati mandatori.

Menurutnya, beliau akan tubuhkan satu jawatankuasa teknikal untuk membuat kajian selain mendengar input daripada semua pihak serta pemegang taruh.

Dalam perkembangan sama, katanya, menerusi pindaan itu kelak hakim juga akan diberi budi bicaranya untuk menetapkan berapa jumlah sebatan yang akan diberikan sesuai dengan kesalahan atau jenayah si pelaku.

Ditanya mengenai alternatif hukuman yang sesuai bagi menggantikan hukuman sebatan itu, Wan Junaidi berpandangan bahawa kaedah sebatan mengikut undang-undang Islam dilihat lebih sesuai.

Ujar beliau, kajian hukuman gantian sebatan itu akan dibentangkan bersama pindaan 11 kesalahan yang dijatuhkan hukuman mati mandatori iaitu sembilan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan dua kesalahan di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Katanya, kerajaan juga akan meneliti syor hukuman gantian bagi satu kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 22 kesalahan lain yang memperuntukkan hukuman mati tetapi dengan budi bicara Mahkamah.

“Kerajaan pada masa ini melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara dan kementerian serta jabatan berkaitan sedang meneliti cadangan hukuman gantian dan komited untuk membentangkan pindaan akta-akta yang terlibat dalam sidang Parlimen pada Oktober 2022,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI