fbpx

Dua remaja antara 25 ‘kaki lalok’ dadah diberkas ketika berhibur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Serbuan Ops Pusat Hiburan yang dilakukan di pusat hiburan di bandar raya Johor Bahru, Johor semalam.

JOHOR BAHRU – Polis menahan 25 individu termasuk seorang wanita yang ‘lalok’ ketika asyik berhibur dalam serbuan yang dilakukan di sebuah pusat hiburan di bandar raya ini, tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, Ops Pusat Hiburan yang dijalankan kira-kira pukul 12.15 tengah malam itu oleh Bahagian Siasatan Jenayah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

Beliau berkata, dalam serbuan tersebut, seramai 43 pengunjung telah diperiksa yang terdiri daripada 33 lelaki dan empat wanita warga tempatan serta seorang lelaki dan tiga wanita warga asing berumur antara 17 hingga 61 tahun.

Katanya, kesemua individu itu termasuk dua remaja lelaki di bawah umur telah dibawa ke IPD Johor Bahru Selatan bagi menjalani ujian saringan air kencing.

“Hasil daripada ujian saringan air kencing mendapati 21 lelaki dan seorang wanita tempatan serta dua remaja lelaki di bawah umur positif ujian dadah.

“Kes disiasat di bawah SEKSYEN 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu memasukkan dadah ke dalam tubuh badan yang boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Raub berkata, seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai penjaga premis ditahan mengikut Seksyen 6 (2) dibawah Enakmen Negeri Johor kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen hiburan yang sah.

Katanya, lelaki terbabit juga disiasat mengikut Seksyen 55(b) Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji pekerja asing yang tidak memiliki pas pekerjaan yang sah.

“Dalam masa sama, tiga wanita warga negara asing telah ditahan di bawah Seksyen 39b Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki bekerja tanpa permit yang sah.

“Pihak polis menyeru kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau aktiviti penyalahgunaan dadah di mana-mana premis hiburan boleh menghubungi terus di talian hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI