fbpx
Mahdzir (kanan) pada sidang akhbar Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan JPKK Negeri Melaka di Seri Negeri, Melaka, hari ini.

KPLB peruntuk RM176 juta bayar elaun JPKK, JPKKP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyediakan peruntukan hampir RM176 juta pada tahun ini bagi bayaran elaun kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP).

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, lebih RM80 juta telah selesai disalurkan kepada 12 negeri bagi fasa satu untuk tempoh Januari hingga Jun.

“Elaun berkenaan adalah insentif kerajaan Persekutuan sebagai menghargai peranan JPKK dan JPKKP dalam menggerakkan komuniti setempat.

“Peranan JPKK amat penting sebagai perantara di peringkat akar umbi dalam menyalurkan masalah atau aduan masyarakat kepada pihak berkuasa serta agensi berkaitan,” katanya pada sidang akhbar Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan JPKK Negeri Melaka di Ayer Keroh, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Mahdzir memberitahu, peruntukan elaun tersebut masih belum disalurkan kepada Pulau Pinang berikutan lantikan JPKK belum selesai sementara Selangor pula masih menggunakan peruntukan sedia ada.

“Bagi sesetengah negeri, JPKK turut menerima elaun tambahan daripada kerajaan negeri. Kerajaan Negeri Melaka misalnya memberi RM200 dan RM50 sebulan kepada pengerusi dan setiausaha,” ujarnya.

Mengenai elaun JPKK fasa dua di Melaka, Mahdzir berkata, bayaran itu masih dalam proses melengkapkan dokumentasi oleh pihak Setiausaha Kerajaan Negeri dan pembayarannya akan disegerakan sebelum akhir tahun ini. – KOSMO! ONLINE

POPULAR