fbpx
Muhammad Sanusi (tiga dari kanan) meninjau kawasan tadahan air di Loji Air Pulau Tuba semasa lawatan kerjanya ke Pulau Tuba, Langkawi hari ini.

Pulau Tuba jadi pulau rendah karbon pertama negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI – Pulau Tuba di sini akan dijadikan sebagai pulau rendah karbon pertama dalam negara menjelang penghujung tahun ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kenderaan yang digunakan di pulau itu akan diganti dengan kenderaan menggunakan kuasa elektrik.

“Motosikal pakai enjin ini akan ditukar beli dan diganti dengan motor elektrik,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di Pulau Tuba di sini hari ini.

Jelasnya, perbezaan harga tukar beli antara RM1,000 hingga RM1,500 akan ditanggung oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Beliau memberitahu, kenderaan sewa dan yang dimiliki penduduk akan digantikan bermula hujung tahun ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, katanya, takungan air yang digunakan penduduk di Pulau Tuba juga akan dinaik taraf bagi menampung lebih banyak air.

Menurutnya, sumber air dari pulau itu sendiri boleh dimanfaatkan untuk kegunaan kira-kira 3,000 penduduk di situ.

“Takungan sedia ada boleh dibesarkan dengan meninggikan tebing takungan. Air dalam takungan (yang dinaik taraf) tersebut boleh tahan selama dua minggu (penggunaan),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR