fbpx
MOHAMAD AIMAN membantu ibunya yang menderita ketumbuhan pada bahagian mulut di rumahnya di Taman Pamah Kasih, Temerloh kelmarin.

Mulut kembang sebesar bola tenis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH – Bermula dengan ulser di dalam mulut dan kini melarat sehingga menjadi ketumbuhan sebesar dua biji bola tenis di bahagian mulut.

Itu penderitaan ditanggung seorang wanita, Rosilah Ramli, 56, yang terpaksa menahan kesakitan sepanjang masa apabila hidup bersama ketumbuhan yang diibaratkan sebagai ‘bom jangka’ dan boleh pecah pada bila-bila masa.

Rosilah berkata, dia pernah tidak sedarkan diri selepas sebahagian daripada ketumbuhan itu pecah sendiri pada 4 Ogos lalu sehingga mengeluarkan darah.

Jelasnya, ketumbuhan sema­kin teruk pada November tahun lalu apabila ulser mula me­rebak ke bahagian luar mulut.

“Saya terkejut selepas melakukan pemeriksaan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh, doktor memaklumkan ia adalah kanser.

“Saya tidak sangka kerana ketumbuhan itu hanya bermula dengan ulser kecil yang sering dihidapinya.

“Memang saya berharap untuk sembuh kembali, tetapi doktor beritahu tidak boleh buat apa-apa lagi (pembedahan) selain kemoterapi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Pamah Kasih di sini kelmarin.

Menurutnya wanita itu, dia telah menjalani pembedahan di Institut Kanser Negara Putrajaya pada Februari tahun ini, namun ketumbuhan itu tidak pulih, malah semakin membesar.

Jelasnya, ketumbuhan yang pecah sehingga mengeluarkan darah yang banyak minggu lalu menyebabkan dia terpaksa di­bawa ke hospital selepas tidak sedarkan diri selain memerlukan tambahan darah sebanyak dua peket.

“Selain terpaksa menahan sakit, saya tidak boleh berjalan. Badan saya juga semakin kurus,” katanya yang kini hanya mempunyai berat 40 kilogram.

Ibu kepada empat anak itu berkata, pada masa ini, dia dijaga oleh anak bongsunya, Mohamad Aiman Mat Zaki, 21, yang terpaksa berhenti kerja bagi memberikan tumpuan menguruskan kehidupan hariannya.

Katanya, dia juga hanya bergantung kepada pendapatan suami, Mat Zaki Abdul Rani, 52, yang bekerja kontrak sebagai pemandu jengkaut di kilang sawit.

Sementara itu, Mat Zaki berkata, dengan pendapatan yang tidak menentu, keluarganya terpaksa meminjam duit daripada saudara yang lain bagi menyediakan keperluan Rosilah.

“Buat masa ini kami hanya pernah mendapat bantuan zakat ‘on off’ sebanyak RM500 dan te­lah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Selain kos berulang alik ke Hoshas dan ke IKN di Putrajaya, isteri saya memerlukan susu khas satu tin setiap hari yang mana setiap tin berharga RM100,” ujarnya.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Mat Zaki di talian 013-9719090 atau me­nyalurkan sumbangan ke akaun Public Bank Mat Zaki bin Abdul Rani iaitu 4768624509.

POPULAR