fbpx

Aktivis Perancis simen lubang golf bantah pengecualian larangan membazir air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKTIVIS mengadu bahawa kelab-kelab golf dibenarkan menyiram padang mereka. - Twitter

PARIS – Aktivis iklim yang bekerjasama dengan pertubuhan alam sekitar, Extinction Rebellion menyimen lubang-lubang golf di Perancis sebagai tanda protes apabila padang golf dikecualikan daripada larangan pembaziran air semasa Perancis dilanda kemarau paling buruk dalam sejarah, lapor akhbar New York Post semalam.

Kerajaan Perancis mengarahkan rakyat mengelak menggunakan air untuk aktiviti tidak penting seperti mencuci kereta dan menyiram tanaman.

Bagaimanapun, aktivis-aktivis mengadu bahawa padang-padang golf dibenarkan untuk menyiram rumput.

Bantahan itu dilakukan di kelab golf Vieille-Toulouse dan Garonne des Sept Deniers. 

“Padang golf tanpa rumput adalah seperti gelanggang ais tanpa ais,” kata Gerard Rougier daripada Persekutuan Golf Perancis ketika mengulas pengecualian itu kepada laman berita France Info.

Extinction Rebellion menyiarkan gambar di laman Twitter menunjukkan lubang-lubang golf diletakkan simen dan papan tanda bertulis ‘Lubang ini ‘meminum’ 277,000 liter air. Adakah anda minum sebanyak itu? #Hentikan Golf’.

“Kegilaan ekonomi lebih diutamakan daripada alasan ekologi,” demikian menurut petisyen bertujuan untuk membatalkan pengecualian yang diberikan kepada padang-padang golf di Perancis semasa musim kemarau.

Larangan pembaziran air dikuatkuasakan mengikut budi bicara pegawai wilayah dan setakat ini hanya Ille-et-Villaine di barat Perancis yang melarang penyiraman padang golf.

Perancis merupakan antara negara paling teruk terjejas akibat keadaan panas dan kering yang melanda seluruh Eropah dengan ramai anggota bomba dikerah untuk memadamkan kebakaran hutan di barat daya Perancis. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI