fbpx

Keselamatan terancam kerana projek banglo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nurul Khairul Anuar (tengah) mengadakan perbincangan dengan penduduk Sungai Buloh Country Resort Fasa 4D di Kuala Selangor kelmarin.

SUNGAI BULOH – Penduduk Sungai Buloh Country Resort Fasa 4D meluahkan kebimba­ngan mengenai keselamatan mereka terutamanya kanak-kanak apabila dimaklumkan mengenai tindakan sebuah syarikat pemaju yang mahu menggunakan jalan di kawasan kediaman sebagai laluan kenderaan berat.

Mereka mendakwa, kende­raan berat itu akan keluar masuk menggunakan laluan itu bagi menghantar bekalan untuk kerja-kerja pembinaan perumahan baharu berhampiran rumah mereka.

Wakil penduduk, Nurul Khai­rul Anuar Maskor, 50, berkata, sejak mendapat tahu mengenai perkara itu, mereka mula risau mengenai keselamatan terutama kanak-kanak selain kerosakan jalan sekiranya dilalui kenderaan berat.

“Kami bukan menghalang pembangunan cuma mahu syarikat pemaju menggunakan laluan lain. Penduduk bimbang jika kehadiran kenderaan berat seperti lori pasir dan lain-lain akan membawa kemudaratan sedangkan jalan di sini hanya sesuai untuk kenderaan lapan tan ke bawah.

“Jalan ini juga selalu digunakan oleh kanak-kanak untuk ke sekolah dan penduduk turut meletakkan kenderaan di bahu jalan. Kami bimbang ia boleh mengundang risiko kemalangan,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.

Terdahulu, sekumpulan penduduk itu berkumpul untuk me­nyatakan bantahan penggunaan jalan di perumahan Sungai Buloh Country Resort Fasa 4D dan mahu pemaju mencari alternatif menggunakan laluan lain.

Sementara itu, Pengerusi persatuan penduduk di situ, Mohammed Syam Mohd. Yunus berkata, difahamkan projek tersebut melibatkan 33 unit rumah selain banglo.

“Saya tidak kisah pihak pemaju membina projek perumahan serta penduduk tidak membantah kerana ia pembangunan yang bagus, namun kami bimbang dari segi keselamatan.

“Malah, saya sendiri mempunyai anak kecil dan jalan raya di sini juga menjadi kegemaran kanak-kanak di sini bermain pada waktu petang,” ujarnya.

Sehubungan itu, Mohammed Syam berharap Majlis Perbandaran Kuala Selangor bekerjasama dengan syarikat pemaju bagi menyelesaikan isu tersebut dengan segera sebelum kerja-kerja pembinaan dijalankan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI