fbpx

Penjawat awam terbabit jenayah: Kerajaan tak berkompromi, tindakan sewajarnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hamzah (kanan) melawat gerai pameran makanan di pekarangan Dewan Semai Bakti Felda Ijok ketika hadir ke majlis penutupan Program Komuniti Bebas Jenayah Dan Dadah di Selama hari ini.

LARUT – Kerajaan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan sewajarnya kepada mana-mana penjawat awam yang melakukan kesalahan jenayah termasuk penyalahgunaan dadah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, hukuman yang dikenakan termaktub dalam bidang perundangan negara dan ia bergantung kepada jenis kesalahan yang dilakukan mereka.

“Kita akan ambil tindakan kepada semua penjawat awam yang berkhidmat dengan agensi di peringkat negeri dan persekutuan termasuk yang bekerja di dalam agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sekiranya ada di antara mereka ini melakukan jenayah hingga ada yang menjual dadah, hukumannya tentu amat berat sekali,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Program Komuniti Bebas Jenayah Dan Dadah Bersama Menteri Dalam Negeri di Dewan Semai Bakti, Felda Ijok Selama di sini hari ini.

Menurutnya, mana-mana penjawat awam yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah akan dihantar untuk menjalani pemulihan sebelum dikembalikan kepada masyarakat.

Mengulas dakwaan berkenaan kononnya penjawat awam yang melakukan kesalahan jenayah akan dilonggokkan di Sabah dan Sarawak, beliau berkata, kenyataan itu adalah kurang tepat.

“Ramai penjawat awam sebelum ini telah ditangkap di atas pelbagai kesalahan jenayah dan mereka telah dihantar ke semua negeri dan bukan setakat ke Sabah dan Sarawak sahaja,” katanya.

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataannya berkata akan mengkaji semula perpindahan sembilan anggota polis ke Sabah dan Sarawak selepas terbabit dalam kes peras ugut di Selangor. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI