fbpx
Gambar hiasan

Warga emas rugi RM10,000 barang kemas dilarikan peragut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH – Seorang warga emas mengalami kerugian kira-kira RM10,000 selepas gelang tangan dan rantai lehernya diragut semasa berada di rumahnya di Kampung Batu Hitam Dalam di sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu turut menyebabkan mangsa yang berusia 77 tahun lebam pada tangan kirinya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Mohd. Razi Rosli berkata, sebelum kejadian, mangsa yang berada di dalam rumah didatangi seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an.

Menurutnya, lelaki terbabit yang berdiri di hadapan pagar jeriji rumahnya sebelum bertanya kepada mangsa sama ada mengenalinya atau tidak.

“Suspek terus bertindak menarik tudung mangsa sebelum meragut rantai leher dan gelang tangan warga emas itu.

“Lelaki itu terus melarikan diri sebelum menaiki sebuah kereta jenis kereta Proton Waja berwarna perak. Mangsa bagaimanapun tidak sempat melihat nombor pendaftaran kereta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Razi berkata, ketika kejadian, cucu mangsa berada di dalam rumah, namun tidak menyedari insiden itu.

Menurutnya, polis sedang mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

POPULAR

BERITA BERKAITAN