fbpx
Tentera Taiwan menembak meriam Howitzer semasa latihan tembakan di daerah Pingtung, selatan Taiwan semalam. - AFP

Taiwan adakan latihan bedilan artileri tangkis serangan China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPEI – Tentera Taiwan mengadakan latihan tembakan artileri menggunakan peluru hidup semalam dalam simulasi pertahanan pulau berkenaan daripada serangan musuh, beberapa hari selepas China mengadakan latihan perang besar-besaran, kata seorang wartawan agensi berita AFP di lokasi kejadian.

Jurucakap Kor Tentera Kelapan Taiwan, Lou Woei-jye mengesahkan bahawa latihan itu berlangsung di daerah Pingtung, selatan Taiwan sejurus selepas pukul 8.40 pagi (waktu Malaysia) melibatkan tembakan suar dan peluru meriam terhadap sasaran serta berakhir sejam kemudian.

Ketika peluru terakhir ditembak, pasukan tentera Taiwan menjerit ‘misi tercapai’. 

China melancarkan latihan tentera terbesar di sekitar Taiwan minggu lalu sebagai tindak balas terhadap lawatan Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi. Pelosi merupakan pegawai Amerika syarikat tertinggi melawat Taipei dalam tempoh beberapa dekad.

Latihan Taipei yang diadakan semalam dan esok, melibatkan sekitar 40 meriam howitzer dan beratus-ratus anggota tentera.

Lou berkata kelmarin bahawa latihan tembakan artileri itu telah dijadualkan dan bukan tindak balas terhadap latihan tentera China.

Latihan untuk mencegah pendaratan tentera musuh itu dilakukan selepas China melanjutkan latihan laut dan udara di sekitar Taiwan kelmarin, namun Washington menyatakan, pihaknya tidak menjangkakan peningkatan konfrontasi oleh Beijing.

Menjelang latihan bedilan artileri semalam, Taipei mengecam Beijing kerana meneruskan latihan ketenteraannya di sekitar pulau itu.

“Provokasi dan pencerobohan China menjejaskan status quo Selat Taiwan dan menimbulkan ketegangan di rantau ini,” kata kementerian luar Taiwan dalam satu kenyataan.

Taiwan menegaskan bahawa tiada kapal terbang atau kapal perang China memasuki perairan wilayahnya dalam jarak 22 kilometer dari daratan semasa latihan Beijing.

Tentera China, bagaimanapun, mengeluarkan klip video pada minggu lepas, memaparkan seorang juruterbang tentera udaranya merakam kawasan pantai dan pergunungan di Taiwan dari dalam kokpit pesawat, menunjukkan dia terbang amat dekat dengan pantai Taiwan.

Beijing juga membedil peluru berpandu balistik melintasi Taipei semasa latihan pada minggu lalu, demikian menurut media negara China. – AFP 

POPULAR