fbpx
GAMBAR HIASAN

Budaya bertindak selepas isu tular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
NOR ERYANI,
WARTAWAN EKSEKUTIF

SEJAK filem epik Melayu Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan mencetus fenomena luar biasa, dapat dilihat dengan ketara pelbagai impak positif tercetus.

Misalnya, semangat patriotik dan cintakan perjuangan berkobar-kobar dalam jiwa penonton khususnya orang Melayu, contoh dekat adalah fenomena penonton mengenakan pakaian tradisional ketika menonton filem berkenaan di pawagam.

Dari sisi lain, kehebatan filem arahan Syamsul Yusof tersebut juga membuka mata ramai terhadap keperitan perjuangan tokoh pahlawan Mat Kilau membanteras penjajahan British.

Hasil fenomena luar jangkauan, tokoh yang meninggal dunia pada 1970 itu diangkat selaku penerima Tokoh Maal Hijrah daripada kerajaan negeri Pahang baru-baru ini.

Pun begitu, di sebalik setiap cetusan fenomena dan respons positif berkaitan filem dan tokoh itu, ada terselit sisi kurang enak yang seharusnya diberi perhatian serius oleh semua pihak.

Sejurus Mat Kilau menjadi bualan, peninggalan dan warisan tokoh itu juga meraih perhatian apabila makamnya menerima kunjungan orang ramai dan sejarah tentang dirinya digali dalam internet, tetapi malangnya satu hal yang tak terjaga adalah nilai peninggalan Mat Kilau untuk generasi masa kini.

Dilaporkan, rumah tokoh itu dibiarkan tak terurus sehingga keseluruhan kawasannya dipenuhi semak samun.

Selepas ditularkan, barulah ada pihak yang datang untuk menjadi penyelamat.

Isunya di sini, apakah hanya kerana tular, barulah orang ramai tahu betapa tirusnya penja­gaan tentang sesuatu perkara atau tinggalan sejarah yang menjadi nilai sentimental buat negara?

Mungkin tak sama tapi isu hampir serupa berlaku terhadap Tasik Chini apabila Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mendapati tapak warisan berkenaan tidak lagi memenuhi kriteria untuk menjadi sebahagian Rangkaian Rizab ­Biosfera Dunia.

Ketika mengetengahkan isu tersebut kepada Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia, Profesor Dr. Zaid Ahmad, beliau berkata, kurang kesedaran dan kesungguhan dalam menjaga warisan negara sudah lama menjadi masalah di negara ini.

Kata Zaid, perkara tersebut mungkin berlaku disebabkan kelemahan pendidikan untuk masyarakat mendalami apa itu nilai sejarah.

“Ada banyak faktor yang menyumbang. Pertama, kurangnya kesedaran. Kedua, kurangnya dokumentasi terhadap sesuatu peninggalan.

“Adakalanya masyarakat me­ngetahui tentang sesuatu ha­sil sejarah lisan. Tetapi kaedah ini tiada kajian yang muktamad, jadi maklumatnya boleh berubah-ubah,” katanya.

Justeru ujar Zaid lagi, demi menjadikan nilai warisan dan sejarah negara kembali gemilang, perlu ada agenda khusus yang kuat agar negara tidak mengalami kerugian.

Biarpun begitu, Zaid me­ngakui, kebelakangan ini timbulnya kesedaran dan kecen­derungan masyarakat khususnya orang muda terhadap warisan dan jati diri bangsa.

Mengambil impak positif filem Mat Kilau contohnya, ramai anak muda mula berminat mengenakan busana Melayu tradisional ketika menghadiri majlis ter­tentu.

“Saya lihat ada perkembangan positif yang berlaku sejak kebelakangan ini. Ramai yang memakai semula busana lama menunjukkan kecenderungan mereka terhadap tradisi kita masih ada.

“Meskipun ada kerisauan dalam hati saya melihat situasi ini berlaku mengikut musim atau trend semata-mata. Tetapi apa yang kita perlukan lakukan adalah menanam asas dalam diri untuk menghargai sejarah.

“Fenomena atau trending akan lesap suatu hari nanti. Tetapi kalau ada asasnya, kita boleh pertahankan. Maka nanti, kita mampu ‘reclaim’ budaya, identiti dan jati diri Melayu,” ujarnya.

POPULAR