fbpx
Zamzirin menunjukkan sijil penyertaan goat show ketika ditemui di Kampung Puteri Menangis, Ayer Baloi di Pontian baru-baru ini.

Mek Siti, Janggut buka rezeki penternak kambing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN – Seorang jurulatih bola sepak komuniti memilih menternak kambing baka boer import dan tempatan sebagai pendapatan sampingan hingga boleh mendatangkan pulangan sehingga RM10,000 seekor.

Zamzirin Yusof, 38, dari Taman Bukit Indah, Johor Bahru berkata, dia meminati bidang itu kerana penternak kambing baka berkenaan masih kurang di daerah ini.

Katanya, kambing boleh memberikan pulangan baik jika diurus dengan betul.

“Baka boer import dari Afrika boleh mencecah RM10,000 apabila mencecah usia tiga tahun. Saya mula menternak pada awal 2021 dengan modal RM48,000 untuk membeli lima ekor kambing boer dan cross boer serta membuka ladang.

“Sebanyak empat guni dedak digunakan untuk makanan kambing selain kacang soya, pelepah kelapa sawit dan silaj jagung,” katanya ketika ditemui di Kampung Puteri Menangis, Ayer Baloi di sini baru-baru ini.

Menurut Zamzirin, dia kini mempunyai tujuh ekor kam­bing boer import bersama tiga anak selain 19 ekor cross boer jantan dan betina.

Tambahnya, tiga ekor baka boer miliknya digelar Mek Siti, Janggut dan Wak Jawa telah memenangi kedudukan keempat dan 10 terbaik dalam pertandingan Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan di Pantai Irama Bachok, Kelantan baru-baru ini.

“Mek Siti tidak dapat dibawa pulang kerana sedang bunting manakala Janggut serta Wak Jawa pula gemar mandi dan gi­ginya digosok berbanding kambing lain,” katanya.

Zamzirin memberitahu, dia bercadang untuk membawa ma­suk sepasang kambing boer Kalahari pada Oktober depan bagi tujuan pembiakan selain mempelbagai jenis ternakannya.

POPULAR