fbpx

Kebakaran hutan marak berhampiran Lapangan Terbang Heathrow

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba memadamkan api di luar 30 hartanah di Hereford Road, Feltham. - Twitter/The Sun

LONDON – Pasukan bomba berjaya menyelamatkan 30 buah rumah daripada hangus apabila kebakaran hutan marak di sebuah bandar di barat London semalam, lapor portal berita MailOnline.

Kebakaran yang berlaku di sebuah lokasi kurang 3.2 kilometer dari Lapangan Terbang Heathrow itu memusnahkan pokok, pagar, tumbuhan renek dan halaman belakang beberapa hartanah.

Api  menjulang dapat dilihat oleh penumpang di dalam pesawat yang hendak  mendarat.

Rakaman video menunjukkan kepulan asap naik ke  udara, manakala beberapa klip video lain memaparkan api berwarna jingga membakar halaman belakang beberapa kediaman.

Penduduk yang tinggal di kawasan berdekatan melaporkan mendengar bunyi letupan kuat.

“Saya dan bapa mendengar bunyi kuat seperti bom atau letupan lain,” kata seorang penduduk di media sosial.

Sebuah bangsal hangus, manakala  15 struktur lain rosak. Beberapa hartanah mengalami kerosakan kecil pada tingkap, pintu dan longkang.

Tiada laporan mengenai kecederaan,manakala punca kebakaran masih tidak diketahui, demikian menurut Jabatan Bomba London yang mengerahkan 70 anggotanya  ke lokasi kejadian.

“Anggota bomba bekerja keras dalam keadaan panas dan berdepan kesukaran untuk mencegah api daripada merebak ke hartanah berdekatan.

“Kerja keras mereka telah menyelamatkan kira-kira 30 kediaman di Hereford Road. Sekitar 60 penduduk telah dipindahkan kerana asap tebal,” kata komander pasukan bomba, Tamer Ozdemir.

Sementara itu, menurut laman berita MyLondon, tiada sebarang gangguan ke atas operasi di Lapangan Terbang Heathrow akibat kebakaran tersebut dengan  aktiviti mendarat dan berlepas berlaku seperti biasa. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI