fbpx
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sains dan Kesihatan MSU ini percaya bidang yang dipelajari mempersiapkannya mendekati masyarakat.

Gadis Kampus: Bakti Noryn buat rakyat marhaen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERJAYA dalam sektor awam satu masa dahulu menjadi cita-cita graduan universiti dan sekolah pada era 1970-an setelah tamat pengajian.

Ini disebabkan tanggapan bahawa seseorang kakitangan awam itu bukan sahaja bergaji tetap yang memudahkannya memohon pinjaman pembelian rumah dan mendapat pencen, malah senang diterima sebagai menantu jika sang jejaka masuk meminang si gadis.

Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sains Kesihatan dari Management & Science University (MSU) Shah Alam, Selangor, Nurazmira Noryn Arman, 25, dia bercita-cita untuk menyertai sektor kerajaan bukan disebabkan gaji tetap atau pencen, tetapi lebih kepada jiwa patriotik untuk menabur bakti kepada masyarakat marhaen.

Gadis cantik yang selesa dipanggil Noryn ini berharap agar diberi peluang berkhidmat dengan sektor awam terutama dalam bidang pembangunan belia dan pentadbiran sektor kesihatan.

“Pengalaman dalam aktiviti kebajikan dan turun padang menyantuni orang susah menyebabkan saya berasa perlu berkhidmat dalam sektor awam.

“Sebagai pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sains Kesihatan MSU, saya fikir bidang yang diambil ini sesuai untuk saya berkhidmat dengan masyarakat bila tamat belajar nanti,” katanya ketika ditemui K2 baru-baru ini.

Noryn yang merupakan anak kedua daripada lima beradik bercita-cita menjadi penjawat awam sejak bergiat aktif dalam kerja sosial sepanjang belajar di universiti.

Jelas Noryn, sejak melanjutkan pelajaran di MSU pada tahun 2018, dia terlibat dengan kerja-kerja sosial apabila menjadi sukarelawan dalam organisasi belia.

Gadis cantik ini juga meminati bidang keusahawanan.

“Namun, kerja-kerja kesukarelawanan saya di peringkat institusi pengajian tinggi bermula sejak tahun 2016 semasa mengikuti kursus peringkat diploma di sebuah pusat pengajian di Nilai, Negeri Sembilan.

“Sementara itu, pengalaman terlibat menyertai aktiviti luar kelas turut disemai di peringkat sekolah apabila saya aktif dalam bidang sukan, tarian dan kawad kaki,” katanya.

Mengulas mengenai kekuatan dirinya dari aspek pendidikan dan pengalaman, Noryn berkata, sepanjang menuntut di MSU, dia berjaya mencatat kecemerlangan setelah tiga kali mendapat Anugerah Dekan, Anugerah Pelajar Terbaik dan Anugerah Presiden

Noryn yang berasal dari Kampung Baru Kuala Lumpur optimis, dengan kelayakan akademik dan minat mendalam dalam bidang sukarelawan dia yakin untuk menyertai sektor awam dan berbakti kepada negara.

“Sebagai seorang wanita juga, saya berharap diberi peluang untuk berbakti memajukan golongan wanita muda di negara ini.

“Di negara ini, golongan wanita dan lelaki boleh bersaing secara sihat dalam pelbagai bidang. Saya berharap diberi peluang untuk berbakti sama ada sebagai pembuat mahupun pelaksana dasar,” katanya.

Mengulas mengenai isu integriti dalam kalangan penjawat awam, dia berharap isu tersebut tidak diletakkan di bahu pihak berkuasa semata-mata kerana langkah untuk memperkasa integriti sepatutnya dilakukan oleh semua pihak dari peringkat keluarga, sekolah hingga pihak berkuasa.

Ujarnya lagi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai organisasi mencegah rasuah mempunyai tanggungjawab besar bukan sahaja menghapuskan jenayah itu tetapi mendidik generasi muda tentang nilai-nilai integriti sejak kecil lagi.

“Sewajarnya, sesiapa yang ingin bekerja dalam sektor awam perlu cemerlang dalam subjek agama dan moral bagi memastikan sistem penyampaian kerajaan menjadi lebih berkesan,” katanya.

Menjawab pertanyaan adakah dia berminat dengan politik, Noryn berkata, politik adalah penting untuk perjuangan sesuatu golongan bagi membela nasib mereka sendiri.

“Politik harus dilihat sebagai satu tanggungjawab patriotik dalam kalangan generasi muda bukan sekadar masuk politik kerana menjadi pengikut secara semberono.

“Negara ini akan diwarisi oleh generasi baharu satu hari nanti. Sehubungan itu, saya ingin menjadi sebahagian daripada pihak yang terlibat membimbing mereka. Soal menjadi pemimpin politik biar masa menentukan,” ujarnya.

Noryn yang turut meminati bidang usahawan berkata, dia menjadikan selebriti popular, Neelofa sebagai ikon usahawan berjaya.

Buat masa ini, kata Noryn, dia menjual aksesori yang banyak dipakai pada bahagian kepala secara dalam talian dan bercita-cita menjadi usahawan berjaya jika tidak bekerja dalam sektor awam.

“Namun, fokus saya pada masa ini, adalah untuk berbakti kepada masyarakat marhaen seperti orang susah, Orang Asli di pedalaman dan mangsa perang di luar negara,” katanya.

POPULAR