fbpx

Bilakah perang akan berakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Konflik perang Rusia dan Ukraine masih belum nampak akan reda. - AFP

SEJAK Perang Dunia Pertama (1914-1918) dan Perang Dunia Kedua (1939-1945) dunia tidak pernah aman daripada konflik peperangan yang meletus di pelbagai pelosok dunia.

Bukan sedikit kematian yang berlaku akibat peperangan itu, Perang Dunia Pertama merekodkan 8.6 juta kematian, manakala Perang Dunia Kedua pula dianggarkan melibatkan kematian berkali ganda iaitu antara 70 hingga 85 juta nyawa terkorban.

Kepada bekas tentera dan rakyat yang pernah berdepan perang tersebut pasti sukar untuk melupakan betapa derita menjalani kehidupan ketika itu apabila manusia sesama manusia saling berbunuhan demi meraih kemenangan dan membolot kuasa memerintah daripada pihak lawan.

Selepas 75 tahun Perang Dunia Kedua berakhir, banyak pihak memikirkan apakah Bumi bakal menyaksikan satu lagi peperangan besar tercetus.

Umumnya sebelum ini, para pengkaji sentiasa meneliti geopolitik dunia yang memperlihatkan betapa konflik antara negara sentiasa berlaku dari semasa ke semasa.

Konflik Palestin-Israel yang turut melibatkan campur tangan pelbagai negara, Barat, Asia Timur, Asia Barat dan Timur Tengah masih tidak berkesudahan.

Konflik perang saudara di Syria yang turut melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan Rusia juga masih berterusan, malah konflik yang dicetuskan oleh Korea Utara tetap menjadi ancaman kepada negara-negara jiran khususnya Korea Selatan dan Jepun.

Itu belum lagi saya perincikan konflik-konflik yang tiada penyelesaian hingga kini seperti di sempadan India-Pakistan, pencerobohan Russia ke atas Ukraine selain konflik dalaman seperti di Yemen, Myanmar, Sudan, Congo, Afghanistan, Somalia, Nigeria dan beberapa lagi.

Terbaharu api konflik agak membara apabila China begitu berang dengan kunjungan Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi meneruskan perjalanan ke Taiwan.

Kunjungan itu disambut dengan tembakan misil oleh China yang dikatakan jatuh di sekitar pulau tersebut yang didakwa sebagai milik negara itu.

Ekoran kejadian, hampir 51 penerbangan terpaksa dibatalkan sebagai langkah keselamatan.

Begitulah konflik yang berlaku dan akan terus berlaku.

Baik konflik antara negara dan konflik dalam negara. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku esok.

Apa yang penting kita harus bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan. Di Malaysia negara tercinta yang akan menyambut Hari Kebangsaan menjelang 31 Ogos ini, marilah kita semua saling bersatu padu menjaga keamanan dan kemakmuran yang ada.

Perang harga ayam sudah berakhir, perang poster bakal muncul.

Namun sebaiknya, kita jauhi perang fitnah memfitnah yang akan sebati dengan strategi untuk meraih undi dan kuasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI