fbpx
Sebilangan rider tetap meneruskan tugas menghantar pesanan pelanggan kerana tuntutan perbelanjaan harian yang perlu disediakan untuk keluarga masing-masing. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

Gerakan mogok tak berjaya, ‘rider’ perlu sara keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Hasrat sekumpulan penghantar makanan atau rider untuk melancarkan mogok melalui kempen ‘Food Delivery Blackout’ semalam gara-gara tidak berpuas hati dengan kadar upah penyedia perkhidmatan tidak berjaya.

Situasi itu berikutan sebaha­gian daripada mereka mengambil langkah dengan tidak menyertai mogok selama 24 jam itu dan menghantar pesanan pelanggan seperti biasa.

Tindakan itu dilakukan mereka kerana pekerjaan itu adalah satu-satunya punca pendapatan mereka untuk menyara kehidupan bersama keluarga.

Tinjauan Kosmo! di seluruh negara turut mendapati, restoran dan kedai makan serta pusat beli-belah turut dipenuhi dengan kumpulan rider daripada pelbagai penyedia perkhidmatan.

Malah, peniaga yang ditemui turut mengakui operasi tetap berjalan dan pesanan diterima berjalan seperti biasa.

Di Shah Alam, seorang penghantar makanan, Iqbal Idris, 30, berkata, dia tidak menyertai boikot tersebut kerana perlu bekerja untuk memastikan pendapatan hariannya sentiasa anda untuk keluarga.

“Kalau sertai boikot, hilang minimum RM100 sehari dan siapa yang nak bayar ganti rugi itu.

“Saya baharu sahaja dapat anak sulung dua bulan lalu, jadi perlu kerja keras untuk pastikan keluarga sentiasa ada wang untuk berbelanja,” katanya semalam.

Bagi Farhan Nor Adam, 28, komitmen membayar pinjaman rumah serta kenderaan setiap bulan menyebabkan dia terpaksa membatalkan niat untuk me­nyertai kempen boikot itu.

Menurutnya, dia perlu memastikan dapat mengumpul sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan bagi membayar dua komitmen berkenaan.

“Walaupun tidak menyertai boikot ini, saya tetap beri sokongan kepada rider yang menyertainya. Saya membantah kadar bayaran penghantaran (delivery fee) yang diberikan syarikat, yang mana kerap kali tidak konsisten.

“Bayangkan, saya pernah dapat bayaran RM3.50 untuk satu penghantaran atas alasan rumah pelanggan dengan kedai makan jaraknya tidak sampai 1 kilo­meter (km),” katanya yang sudah tiga tahun dalam industri itu.

Dalam pada itu, rider lain dikenali Azman memberitahu, biarpun terkesan dengan pengurangan kadar upah berkenaan, namun merasakan tiada keperluan untuk menyertai.

“Saya tidak terlibat kerana walau apa berlaku sekali pun saya tetap perlu mencari pendapatan untuk keluarga, walaupun mogok hanya sehari saya buat keputusan untuk terus bekerja,” ujarnya.

Sementara itu, pemilik sebuah restoran, Zulhelmee Farihan Ab. Ghafar, 37, berkata, kejadian mogok ini bukanlah kali pertama, namun perkara seumpama itu memberikan impak besar kepada operasi perniagaan.

“Saya difahamkan ramai mogok sebab bayaran tidak se­timpal. Masalah itu perlu diselesaikan penyedia perkhidmatan kerana sebagai peniaga kami te­lah membayar peratusan tertentu bagi setiap tempahan kepada syarikat tersebut,” katanya.

Jelasnya, penyedia perkhidmatan sepatutnya mengamalkan konsep perkongsian kemakmuran atau situasi menang-menang bagi mengelakkan kerugian di mana-mana pihak terlibat.

Sementara itu, peniaga restoran dikenali Ali memberi­tahu, tiada sebarang masalah penghantaran diterima pada hari ini dan tempahan makanan pada semalam tidak menunjukkan perubahan yang ketara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN