fbpx

Mahkamah: Anak lahir luar negara tidak layak dapat kewarganegaraan automatik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahkamah Rayuan Putrajaya.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini memutuskan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak layak untuk mendapat kewarganegaraan negara ini secara automatik.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Seri Kamaludin Md. Said yang mengetuai panel bersama-sama Hakim Datuk Azizah Nawawi menyokong keputusan tersebut manakala Hakim Datuk S. Nantha Balan menentang.

Penghakiman itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang dibuat secara keputusan 2-1.

Panel hakim terbabit turut memutuskan mana-mana anak plaintif yang telah mendapat kewarganegaraan selepas keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini, kewarganegaraan itu kekal sehingga kes itu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Bagi permohonan-permohonan plaintif yang masih diproses, permohonan tersebut perlu `dibekukan’ sehingga kes dimuktamadkan.

Dalam keputusan menyokong yang dibacakan secara berasingan oleh Hakim Kamaludin dan Hakim Azizah, perkataan “bapa” dalam Seksyen 1 (b) dan 1 (c) Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dibaca bersama atau turut merangkumi ‘ibu’.

“Bagaimanapun, ibu yang merupakan warganegara Malaysia dan berkahwin dengan warga asing asing boleh memohon kewarganegaraan negara ini mengikut Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan,” kata Hakim Kamaludin.

Sementara itu, Hakim Nantha dalam keputusan menentangnya menyatakan, perkataan “bapa” dalam Seksyen 1 (b) dan 1 (c) perlu merangkumi ‘ibu’.

Selain itu, hakim tersebut menyatakan, adakah sesuatu yang tidak berperlembagaan untuk mengamalkan diskriminasi jantina dengan hanya mengiktiraf susur galur seorang bapa tetapi tidak bagi seseorang ibu dalam menentukan kewarganegaraan seorang kanak-kanak.

Pada 9 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa bayi dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing secara automatik berhak mendapat kerakyatan negara ini.

Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan perkataan ‘bapa’ dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan perlu bermaksud dan termasuk ibu.

Mahkamah Tinggi membuat keputusan itu pada selepas membenarkan saman pemula Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) serta enam wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing bagi membolehkan bayi mereka yang dilahirkan di luar negara mendapat kerakyatan negara ini secara automatik.

Melalui saman pemula yang difailkan mereka memohon enam perintah mahkamah termasuk deklarasi bahawa Seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama dengan Perkara 8 (2) bagi memasukkan ibu rakyat Malaysia sebagai syarat untuk bayi yang dilahirkan di luar negara diberikan kerakyatan Malaysia secara automatik.

Antara lain, mereka meminta mahkamah mengeluarkan perintah kepada semua agensi kerajaan berkaitan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen dan kedutaan Malaysia agar mengeluarkan semua dokumen membabitkan kerakyatan (termasuk pasport dan kad pengenalan) kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibunya iaitu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

Mereka menamakan Kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah JPN sebagai defendan. Kesemua defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI