fbpx

PDRM terima 132 laporan tipu haji dan umrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar bakal jemaah yang terkandas di KLIA selepas dipercayai ditipu agensi pelancongan swasta baru-baru ini.

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sudah menerima 132 laporan berkaitan penipuan pakej haji dan umrah furada oleh tiga agensi pelancongan tersohor membabitkan kerugian berjumlah RM5.67 juta sehingga 31 Julai lalu.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (SUPM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, berdasarkan rekod PDRM, seramai 336 orang mangsa sudah tampil membuat laporan di 11 negeri bagi tempoh tersebut.

“Laporan tertinggi yang diterima PDRM adalah di Kuala Lumpur iaitu sebanyak 52 laporan melibatkan kerugian RM2.32 juta.

“Sebanyak 33 laporan diterima di Selangor membabitkan kerugian RM966,100 dan diikuti Pahang sebanyak 18 laporan dengan kerugian RM1.254 juta,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, di Johor pula sejumlah tujuh laporan diterima dengan kerugian RM226,500 manakala di Kelantan dan Perak sama iaitu enam laporan masing-masing merekodkan kerugian RM280,000 dan RM203,000.

“Kita menerima tiga laporan masing-masing di Melaka dan Kedah membabitkan kerugian RM251,000 dan RM48,000.

“Manakala di Terengganu hanya dua laporan dengan kerugian RM76,000, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan pula masing-masing satu laporan dengan kerugian RM32,000 dan RM16,000,” katanya.

Jelas beliau, setakat ini sebanyak lima kertas siasatan yang telah lengkap akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara, Putrajaya bagi mendapatkan nasihat dan arahan selanjutnya.

“Ia akan dilakukan oleh Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Pemalsuan/Pelaburan Bersindiket), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohamed Usuf Jan Mohamad.

Terdahulu, kira-kira 380 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi mangsa penipuan agensi pelancongan selepas dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI