fbpx

Novartis, IJN tangani isu ASCVD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed (tiga dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr. Aizai Azan (tiga dari kanan) pada majlis pemeteraian kerjasama yang diadakan di Kuala Lumpur.

PETALING JAYA – Novartis Corporation (Malaysia) Sdn. Bhd. (Novartis Malaysia) dan Institut Jantung Negara (IJN) menjalin kerjasama saintifik pertama untuk membantu pesakit menambah baik pengurusan penyakit Kardiovaskular Aterosklerotik (ASCVD), menerusi penjagaan lebih baik dan terapi.

Penyakit ASCVD seperti sakit jantung koronari, strok dan pe­nyakit arteri periferi adalah di­sebabkan tahap kolesterol tinggi yang mengakibatkan pengerasan dan penyempitan arteri.

Kerjasama Novartis Malaysia dan IJN meliputi tiga bidang utama termasuk penyelidikan untuk menghasilkan data mengenai ASCVD di Malaysia dan mengukur hasil rawatan bagi penghidap ASCVD; penubuhan Klinik Pengurangan Risiko Kardiovaskular (CRRC); serta memartabatkan IJN sebagai pusat latihan diiktiraf antarabangsa dalam rawatan ASCVD.

Presiden Negara Novartis Malaysia, Mohamed El-Wakil berkata, ASCVD ialah isu kesihatan awam global dan merupakan pembunuh nombor satu dunia.

Tambahnya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia meramalkan lebih 15 juta orang meninggal dunia akibat ASCVD setiap tahun, meliputi 85 peratus daripada kematian kardiovaskular.

“Di Malaysia, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 melaporkan penyakit tidak berjangkit (NCD) membentuk 71 peratus daripada kematian awal di Malaysia, dengan ASCVD menyebabkan 54 peratus daripada semua kematian NCD.

“Pakatan ini menggandingkan kepakaran dan piawaian penja­gaan tertinggi IJN dengan pengalaman menyeluruh Novartis dalam bidang kardiovaskular,” katanya dalam satu kenyataan.

Kerjasama tersebut bermula dengan pelancaran CRRC, yang dibuka setiap Isnin di IJN bagi menyediakan khidmat pengurusan risiko lipid dan jantung yang berkesan serta agresif bagi pesakit untuk mengoptimumkan rawatan ASCVD.

Ia berpandukan protokol pengurusan sistematik dengan senarai semak dan kriteria yang ditetapkan terlebih dahulu, di­pimpin pasukan terlatih daripada berbilang bidang termasuk pakar klinikal, diet, fisioterapi dan ahli farmasi.

Usaha sama terdahulu Novartis Malaysia dengan IJN termasuk Daftar Kegagalan Jantung Dekompensasi Akut-IJN (ADHF) yang diterbitkan di pe­ringkat antarabangsa dan Klinik Kegagalan Jantung IJN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI