fbpx

Misi ke Kutub Selatan kaji pemanasan global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pendaki solo, T. Ravichandran.

PETALING JAYA – Pendaki solo, T. Ravichandran bersama dua penjelajah, Mohd. Khairizal Mohd. Khalif dan Ng Wei Siang, bakal menyertai misi menjelajah Kutub Selatan menggunakan ski serta pendakian Gunung Vinson Massif selama 75 hari pada November ini.

Misi dijayakan menerusi Projek Antartika 2022 itu adalah usaha membantu pihak Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi mendapatkan sampel untuk melengkapkan kajian pemanasan global terhadap Antartika.

Ravichandran berkata, dalam misi tersebut, mereka akan menjelajah menggunakan ski sejauh 1,030 kilometer (km) yang akan mengambil masa 60 hari serta diteruskan dengan menawan puncak Gunung Vinson Massif.

“Khairizal pernah menjelajah Kutub Utara dan mempunyai pengalaman berdepan suhu di bawah -60 darjah Celsius manakala, Tom (panggilan Wei Siang) juga seorang penjelajah berasal dari Sarawak.

“Saya pula berpengalaman mendaki gunung dan kami akan menggabungkan ilmu bersama-sama dalam menjayakan misi tersebut,” katanya pada sidang akhbar secara dalam talian dari Pakistan hari ini.

Dalam pada itu, Ravichandran berkata, pihaknya masih berusaha dari segi penajaan projek tersebut dan mengalu-alukan mana-mana pihak turut serta dalam misi ini.

Ditanya cabaran menawan puncak Gunung K2 di Pakistan pada 22 Julai lalu, beliau menyifatkan ia sebagai ‘gunung pembunuh’ dengan kepayahan tiga kali ganda berbanding Gunung Everest.

“Kita cuma ada satu hari cuaca baik iaitu pada 22 Julai jadi, perlu bergerak ke puncak dan balik semula dalam tempoh 24 jam. Saya menangis tiga kali selain terpaksa buang air kecil di dalam pakaian.

“Tiada tempat makan, minum dan rehat serta hanya berjalan 24 jam. Begitu perit dan mencabar tetapi akhirnya berjaya bawa Jalur Gemilang ke puncak kedua tertinggi di dunia,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI