Siapa tidak kenal dengan pemilik nama Syamsul Yusof, pengarah muda terhebat ini sentiasa menghasilkan naskhah agung pecah panggung yang menjadi fenomena luar biasa di negara ini.
Bermula dengan filem seperti Evolusi KL Drift, KL Gengster, Khurafat dan Munafik, satu demi satu karya yang dihasilkan berjaya mencuri perhatian penonton dan mendapat maklum balas sangat positif.
Terbaharu, pemuda ini berjaya mencipta satu lagi sejarah apabila filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang diarahkannya berjaya mendapat kutipan tertinggi dalam sejarah perfileman negara iaitu RM90 juta selepas 33 hari ditayangkan. Satu demi satu kejayaan berjaya dilakar anak kepada pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam ini di dalam industri perfileman negara.
Tidak pernah meninggi diri, biarpun setiap sentuhan karyanya diangkat tinggi, Syamsul bagaimanapun berkata, kejayaan Mat Kilau bukan sahaja kejayaan beliau bersama pasukan semata-mata, sebaliknya merupakan kejayaan buat satu Malaysia. Berkongsi lanjut, wartawan Kosmo! Ahad, KHAIRIYAH HANAFI menemu bual Syamsul Yusof baru-baru ini.
KOSMO! AHAD: Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan (Mat Kilau) telah menjadi fenomena menakjubkan di negara ini dengan mendapat kutipan tertinggi dalam sejarah perfileman negara iaitu RM90 juta. Bagaimana tercetus idea untuk menghasilkan filem epik seperti ini dan jangkaan awal sambutan daripada peminat?
SYAMSUL: Syukur alhamdulillah, sujud syukur filem Mat Kilau kini telah mendapat kutipan tertinggi sepanjnag zaman iaitu RM90 juta, sekali gus berjaya mengenepikan filem Hollywood dan memasuki carta kutipan Malaysia International Box Office menandingi filem Avengers End Game.
Ini merupakan satu perkara yang luar biasa. Pada saya ini bukan kejayaan saya dan pasukan Mat Kilau semata-mata tetapi kejayaan satu Malaysia.
Mungkin ramai yang tidak pernah terfikir sejauh ini filem Malaysia boleh capai dan ini merupakan pencapaian luar biasa. Saya terkejut tetapi saya sentiasa positif dan yakin.
Sebenarnya sejak dahulu lagi saya tanam impian yang satu hari nanti filem Malaysia akan mencapai kutipan melebihi RM80 juta dan perkara itu tidak mustahil, terutamanya selepas kejayaan ffilem Munafik 2 yang pada masa itu kutipannya berjaya sehingga ke RM48 juta.
Kita tahu populasi rakyat Malaysia ramai dan untuk capai ke RM100 juta itu tidak mustahil sekiranya sesebuah naskah tidak kira apa sahaja genre sama ada komedi, seram aksi patriotik epik dan lain-lain.
Jika seseorang pengarah berjaya menyampaikan idea kepada penonton dan mereka merasakan dekat dengan naskah tersebut, insya-Allah dan itulah yang berlaku dalam filem Mat Kilau ini.
Idea untuk buat filem epik ini sudah lama ada sejak 10 tahun lalu seperti Bukit Kepong dan cerita-cerita kepahlawanan yang lain.
Kita tahu untuk menghasilkan filem epik sebegini bukan sahaja memerlukan bajet yang sangat besar, tetapi perlukan pengalaman dan kesungguhan yang sangat tinggi daripada pengarah dan keseluruhan pasukan.
Sebab itu kalau kita lihat, banyak penerbit yang punya impian besar mahu hasilkan filem epik atau pahlawan seperti ini seringkali gagal di tengah jalan.
Saya akui sendiri kerana semasa saya hasilkan filem ini sendiri, besar cabaran yang dilalui tetapi saya dan pasukan tidak berputus asa untuk menyiapkan filem ini dan memberikan jiwa dan raga. Alhamdulillah, penonton di negara ini boleh menerima filem ini.
Pada pandangan saudara sebagai pengarah berkaliber, apa yang menjadi tarikan penonton hinggakan mereka berpusu-pusu membanjiri pawagam semata-mata mahu menonton Mat Kilau, adakah sebab pengarah, pelakon atau nama pahlawan tersohor itu sendiri?
Pandangan saya secara jujurnya kejayaan sesebuah filem tidak terletak pada nama pengarah semata-mata.
Memang diakui filem-filem saya mendapat sambutan yang baik sejak pertama kali saya mengarahkan filem dan makin lama kutipannya semakin meningkat.
Saya tidak pernah meletakkan diri sebagai filmmaker yang serba-serbi tahu semuanya sehingga ke hari ini.
Saya sentiasa belajar pada setiap filem. Walaupun kutipan tinggi, tetapi saya tidak pernah menganggap ia sempurna kerana pada saya, tiada karya yang sempurna.
Saya katakan tadi, silap sekiranya ada anggapan dengan kejayaan filem Mat Kilau penonton filem Malaysia kini dahagakan filem-filem epik, patriotik mahupun pahlawan semata-mata. Itu silap semata-mata.
Pada saya, penonton di Malaysia terima apa sahaja genre filem dan tidak kisah. Bagi saya, mereka mahukan kepuasan dan pengalaman daripada apa yang mereka saksikan di pawagam dan tidak dapat dirasai di telefon mahupun televisyen.
Sebab itulah pengarah perlu sajikan sesuatu filem tidak kisah apa genre sekalipun, tetapi dekat dengan hati penonton dan saya mendapat ilham ini bukan dengan sekelip mata, tetapi menerusi proses.
Ia mengambil saya belasan tahun untuk belajar dan mengenali selera penonton Malaysia, filem yang bagaimana mereka mahukan.
Sebab itu sebagai pengarah, saya sentiasa buat kajian apa sahaja filem yang ditonton oleh penonton Malaysia tidak kira filem Malaysia sendiri, Hollywood mahupun Bollywood. Segala unsur yang disukai mereka saya kumpulkan dan terhasillah naskhah filem saya.
Soalnya kalau anda mengatakan filem Mat Kilau berjaya semata-mata kerana pelakon sahaja atau naskah itu sendiri pada saya itu tidak tepat.
Ini kerana, semuanya sangat penting dan paling penting pengarah itu sendiri, kerana dialah yang merupakan nakhoda yang akan menentukan sejauh mana karya itu menyentuh penonton.
Ada pihak mengatakan, sepatutnya Beto Khusairy yang patut diberikan watak utama dalam filem ini berdasarkan aura yang ada padanya, selain dia adalah rakyat Malaysia berbanding Adi Putra dari Singapura. Apa komen saudara dalam hal ini?
Itu terpulang kerana ini adalah pendapat masing-masing. Tetapi sebagai pengarah dan penulis skrip ini, saya nampak Adi Putra sosoknya lebih kena untuk memainkan watak Mat Kilau, dan setiap pelakon kena dengan karakternya.
Bagi saya, perkara ini subjektif. Ada yang setuju dan tidak, tetapi apa yang penting majoriti menerima Adi Putra sebagai Mat Kilau dan jika tidak, filem ini tidak akan berjaya atau maintain momentum di pawagam. Ini semua berlaku kerana feedback yang baik daripada penonton.
Ada orang berkata, filem-filem epik dan kenegaraan selalunya kurang mendapat sambutan ketika ditayangkan di pawagam, tetapi saudara telah membuktikan dakwaan itu meleset sama sekali dengan menghasilkan Mat Kilau dan ia ‘meletup’. Boleh beri komen dalam hal ini?
Saya setuju. Jika saya melihat balik rekod-rekod filem epik atau kenegaraan kebanyakannya memiliki kutipan rendah, ada yang gagal di pawagam dan ada juga sehingga penonton langsung tidak tahu kewujudan filem itu.Bagaimanapun saya sangat yakin bukan filem kenegaraan sahaja,
Saya tidak mengikut arus, saya banyak melihat kita mampu menghasilkan sesuatu filem itu berjaya sekiranya kita tahu apakah kehendak penonton dan kreativiti tidak terletak kepada pelakon wanita yang seksi semata-mata. Seni itu luas dan kita boleh sampaikan dalam banyak cara yang lain.
Selain itu, sewaktu saya shooting filem ini pun segelintir pihak yang tidak setuju apabila saya mahu memilih Adi Putra sebagai Mat Kilau dan ada yang bercakap negatif tentang usaha saya.
Saya harus tolak perkara itu ke tepi, pandang secara positif dan yakin berpegang kepada prinsip dengan niat baik serta ikhlas untuk bangsa dan agama, insya-Allah ia akan dapat sambutan yang baik walaupun pada awalnya org dalam industri sendiri tidak meyakini filem Mat Kilau ini.
Ketika filem Mat Kilau hangat di pawagam, tiba-tiba timbul isu panas yang kurang enak didengar berkaitan cukai hiburan yang dikenakan sehingga 25 peratus dan caj 50 peratus dikenakan panggung wayang membebankan pembikin filem. Adakah ini memberi kesan kepada saudara terhadap filem Mat Kilau dan filem terdahulu yang diarahkan?
Sejujurnya saya tidak terkesan langsung dengan cukai setakat ini. Alhamdulillah dan hasil filem saya alhamdulillah rezeki saya dimurahkan. Tetapi saya akui perkara ini harus diperjuangkan memandangkan ia merupakan salah satu masalah dalam industri ini iaitu cukai yang tinggi.
Biarpun begitu pada saya secara peribadi, bukan itu masalah utama sebaliknya Perbadanan Kemajuan Filem Nasinal Malaysia (Finas). Saya sangat kecewa dengan Finas kerana membiarkan pengkarya filem dibiarkan begitu sahaja apabila isu cetak rompak digital berleluasa hari ini
Undang-undang baharu harus dipinda dan dikaji semula. Sebelum ini isunya filem saya dimuat turun di media sosial dan saya saman secara peribadi.
Biarpun begitu undang-undang secara menyeluruh harus dibuat kembali kerana yang sedia ada ini sudah sangat lama. Tambahan pula pada waktu itu tiada lagi TikTok, Youtube dan sebagainya.
Saya rasa Finas harus bekerja keras. Isu ini sudan puluhan tahun disuarakan tetapi Finas hanya memberi jawapan bukan di bawah bidang kuasa mereka sebaliknya dibawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Finas ditugaskan menjaga segalanya tentang industri filem mereka harus bawa isu ini kepada kerajaan atau kementerian.
Tetapi sehingga ke hari ini Finas tidak memanggil saya untuk berbincang. Saya tidak tahu adakah ini masalah ego atau sebaliknya. Sekiranya Finas terus dengan sikap sebegini, tidak mahu berbincang dan melepas tangan membiarkan penerbit menangis sendirian, bagaimana dengan mereka yang filemnya tidak berjaya di pawagam tetapi dicetak rompak secara digital di media sosial. Apakah nasib mereka?
Apa yang saya perjuangkan bukan untuk diri saya semata-mata tetapi demi masa depan industri filem Malaysia, untuk orang industri filem, kru dan para pelakon cari makan. Perkara ini sudah lama dan Finas harus buka mata bahawa inilah masanya.
Saya tidak kita hanya seronok apabila filem Mat Kilau berjaya etapi tiada revolusi dalam industri filem Malaysia yang harus Finas lakukan.

Saudara merupakan antara pengarah berbakat dan mempunyai aura dan kreativiti tersendiri selepas beberapa filem arahan seperti Munafik dan Munafik 2 turut mencatat tayangan pecah panggung (box office). Apa yang saudara titikberat atau perincikan sebelum mengarahkan sesebuah filem?
Alhamdulillah, syukur filem saya diterima baik dan sebagai pengarah, saya sangat hargai penonton yang menonton filem saya tidak kira reaksi positif mahupun negatif yang diberikan.
Semuanya saya hargai dan belajar terutamanya filem Munafik 1 dan Munafik 2 apabila kedua-dua filem ini berjaya mengharumkan nama Malaysia sehingga ke Indonesia.
Saya tidak duga menerusi Munafik, saya berjaya memenangi anugerah pengarah terbaik Asia Pasifik. Bahkan saya juga tercalon dalam Pelakon Terbaik Asia Pasifik menerusi filem tersebut.
Filem saya ditayangkan di merata-rata terutamanya negara-negara Islam yang sangat hargai filem Munafik. Bagi saya seorang pengarah perlu fikirkan semua aspek bukan pengarahan semata-mata dan itulah yang dititikberatkan oleh saya.
Seperti saya, saya akan menjaga dari semua sudut bermula dari poster, kandungan filem, skrip, pemasaran, trailer dan sebagainya.
Bagaimanapun saya tahu apa yang dilakukan ini terlalu ekstrem dan saya tidak mengatakan cara tersebut betul
Adakah saudara sudah tidak mahu berlakon lagi selepas ini, hanya menumpukan bidang pengarahan dan adakah status sebagai anak kepada pengarah dan pelakon tersohor, Datuk Yusof Haslam memberikan impak tersendiri ketika mula-mula berjinak-jinak dalam kerja pengarahan filem?
Saya tidaklah kata saya tidak mahu berlakon lagi, tetapi alhamdulillah banyak produksi-produksi besar dan independen yang menawarkan saya berlakon seperti astro dan Adrian Teh sendiri yang beberapa kali memberi tawaran tetapi terpaksa ditolak.
Bukan saya tidak mahu berlakon, tetapi kekangan masa yang mana saya perlu utamakan projek-projek saya sendiri. Seperti filem Mat Kilau dan akan datang KL Gengster. Tanggungjawab saya masa, masa amat mencemburui saya.
Terima kasih kepada mereka yang banyak menawarkan saya untuk berlakon. Jika kena dengan masanya, insya-Allah.
Selain pengarahan, saya juga minat berlakon dan ada peminat yang tersendiri.
Sudah sudah tentu lebih membakar minat saya untuk berlakon apabila tercalon sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Asia Pasifik, tetapi saya tidak boleh buat semua dan perlu fokus dan bijak mendahulukan apa yang lebih penting
Ya, kreativiti saya hari ini bukan sahaja belajar daripada ayah saya sendiri, tetapi pengarah-pengarah filem lain seperti Erma Fatima, Rashid Sibir, Badarudin Hj Azmi, Afdlin Shauki, Aziz M. Osman, Suhaimi Baba. Saya adalah produk filmmaker Malaysia terdahulu,
Selain ayah, saya banyak belajar daripada mereka yang mana saya akan menonton filem mereka berpuluh-puluh kali untuk memahami keistimewaan setiap pengarah.
Baru-baru ini saudara ada membangkitkan soal apabila dikatakan Finas tidak memperjuangkan masalah cetak rompak dan hak cipta kerana masih terdapat filem bocor dalam media sosial dan pihak terbabit pun sudah menjawabnya. Pada pandangan saudara, apa yang perlu Finas mainkan dalam isu ini bagi membantu pembikin filem daripada terus menjadi mangsa cetak rompak?
Saya dah jawab tadi cuma saya mahu menambah apabila saya kritik Finas, saya tidak kritik kerajaan kerana biarpun bertukar-tukar kerajaan sebelum ini tetapi setakat ini kerajaaan memang membantu orang-orang industri dan pengkarya-pengkarya baru menghasilkan filem.
Itulah yang saya katakan tidak guna jika kerajaan bantu jutaan ringgit dalam penghasilan film tetapi badan Finas itu sendiri tidak mengkaji apakah masalah sebenar dalam industri terutamanya slain cukai tinggi, cetak rompak digital yg berlaku pada hari ini.
Saya minta maaf terpaksa lantang kerana isu ini sudah berbelas tahun dan orang atasan Finas sudahpun bersilih ganti dengan orang-orang industri sendiri yang menerajui finas tetapi masalah ini masih berlaku.
Sehingga hari ini Finas tidak memanggil saya untuk membincangkan masalah industri dan saya tidak tahu kenapa. Sudah banyak kali saya katakan sebelum ini dan secara baiki tetapi perkara sama berulang tiada usaha dari Finas untuk menangani masalah ini.
Pada pandangan saudara, apakah peranan Finas dalam memajukan industri kreatif termasuk pembikin filem di negara ini benar-benar menampakkan hasil seperti sepatutnya?
Tugas Finas adalah melindungi hak2 pekerja, penerbit dan pengarah filem selain memperjuangkan industri filem Malaysia ke satu tahap lebih tinggi dan baik.
Saya rasa tiada gunanya jika kita ada filem Malaysia seperti filem Mat Kilau yang mendapat kutipan RM90juta dan berjaya memotong kutipan filem Hollywood, Indonesia dan Korea yang lain di dalam Malaysia ini tetapi badan Finas tidak bersungguh-sungguh memperbaiki masalah itu.
Kita lihat negara-negara luar seperti Indonesia dan Korea yang mana mereka sangat menjaga industri filem mereka. Sebab itu industri filem mereka boleh pergi jauh. Tidak mencukupi jika pengkarya filem macam saya berjaya menghasilkan kutipan sangat tinggi tetapi tidak mendapat sokongan daripada Finas. Justeru, kita perlu mencontohi dan sentiasa belajar daripada industri filem luar seperti Indonesia dan Korea.
Persoalan saya sampai bila Finas hanya mahu mendiamkan diri dan sering menolak masalah industri. Jika tidak, kepada siapa orang-orang seperti saya ingin mengadu. Jika saya sendiri pergi ke kementerian untuk mengadu tidakkah itu dilihat seperti langkah betul?
Sebelum ini filem Munafik 2 menjadi mangsa cetak rompak apabila filem tersebut dirakam secara haram dan mula dikongsi di media sosial secara berleluasa. Nampaknya ia tidak berlaku kepada Mat Kilau. Apa pandangan saudara?
Nampaknya tidak berlaku? Salah itu. Semua filem berlaku masalah cetak rompak digital seperti Mat Kilau sendiri terutamanya di TikTok dan YouTube. Saya ada bersuara hal itu di Instagram saya dan saya bersama pihak penerbit sendiri berusaha tetapi seperti biasa jawapan Finas, ini adalah di bawah KDN.
Perkara ini berlaku kepada semua dan bukan sahaja industri filem tetapi rancangan-rancangan televisyen juga yang mana semuanya telah dicetak rompak secara digital dan dimuat naik di YouTube dan Tiktok.
Inilah masalah besar yang dihadapi dan ia boleh membunuh industri filem sekiranya Finas tidak bertindak membuka mata dan bersungguh-sungguh menangani masalah ini

Apa impian dan perancangan masa depan saudara bagi melihat industri ini lebih maju ke hadapan setanding dengan filem-filem yang dihasilkan oleh negara luar?
Impian saya ialah mahu industri filem malaysia berkembang di serata dunia seperti industri filem Korea yang mana drama-drama dan filem mereka merantau ke serata dunia walaupun menggunakan bahasa mereka sendiri.
Tidak mustahil ia boleh berlaku untuk filem Malaysia kita. Sebagai orang Malaysia kita pastinya akan berbangga jika sesebuah filem itu boleh pergi jauh.
Pengkarya filem termasuk diri saya sendiri harus belajar bagaimana industri filem Korea memasarkan filem mereka ke luar negara. Tidak guna jika kita ada impian yang tinggi tetapi tidak memahami kehendak dan selera penonton kerana kesudahnya, ia akan berbalik semula kepada karya.
Melihat Korea mereka menghasilkan momentum filem yang agak perlahan, tetapi selepas mereka menukar bentuk penyampaian yang mesra penonton seperti Train to busan yang lebih komersial dan kita boleh lihat sejauh mana mereka boleh pergi.
Begitu juga pengkarya di Malaysia yang harus tukar perubahan. Minta maaf saya cakap, stesen televisyen harus buat perubahan. Sampai bila penonton mahu dihidangkan dengan cerita drama cinta pukul 7? Kita harus hidangkan cerita-cerita yang beri mesej baik dan bermanfaat kepada penonton.
Dalam menyampaikan mesej dan bermanfaat pula perlu diselitkan hiburan dan tidak semestinya hanya cerita-cerita berkisahkan pahlawan kerana filem komedi juga punya mesej yang tersendiri.
Lebih-lebih lagi stesen televisyen kerana masyarakat banyak menonton televisyen dan kita tengok rancangan televisyen di Korea sudah hebat-hebat. Sampai bila televisyen di Malaysia mahu sajikan cerita cinta tiga segi yang penonton sendiri sudah muak dengan karya seperti itu. Perubahan perlu dilakukan. Mudah-mudahan.














