fbpx

AUG2022: Pengadil ‘rompak’ tiga mata Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMAIN negara, Saiful Iskandar Adna Saiful Azlan (kiri) cuba merampas bola daripada kawalan Prachpeecha Pachthong (tengah) di Stadium Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat sebentar tadi.

UBON RATCHATHANI – Skuad bola sepak negara terlepas peluang untuk menempah tiket awal ke final acara ‘ibu pingat emas’ itu pada edisi ke-20 Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022.

Ia selepas juara bertahan, Thailand yang ketinggalan dua gol, bangkit mencatat seri 2-2 dengan Malaysia pada aksi kedua di Stadium Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat sebentar tadi.

Antara faktor adalah disebabkan banyak keputusan pengadil dari Myanmar, Kyaw Zall Lwin yang dilihat lebih memihak tuan rumah dalam babak kedua termasuk memberikan sepakan penalti kepada Thailand.

Ketua jurulatih bola sepak AUG, Ridzuan Abu Shah mengakui, sepakan penalti itu secara tidak langsung telah menjejaskan perancangan pasukannya dalam aksi tersebut.

“Saya berterima kasih kepada pemain kerana menterjemahkan taktikal yang dirancang dengan cukup baik dalam perlawanan ini.

“Mungkin sepakan penalti dan sepakan percuma yang diberikan kepada pasukan lawan mengganggu konsentrasi pemain,” katanya selepas tamat perlawanan.

Dalam aksi itu, Malaysia memperoleh dua gol menerusi penyerang, Mohd. Alief Najmi Mohd. Radzi seawal minit kelapan dan Muhammad Zulkarnain Mohd. Nasir pada minit ke-41.

Bagaimanapun, Thailand bangkit meledak dua gol di babak kedua menerusi sepakan penalti Kasitinard Sriphirom (m-50) dan Adunlikhit Saengdaeng yang menyudahkan sepakan percuma pada minit ke-77.

Keputusan seri itu menyaksikan Malaysia kini kekal di tangga kedua, empat mata sama dengan Thailand, namun dipisahkan menerusi jumlah perbezaan gol.

Malaysia yang membuka kempen dengan kemenangan 2-1 ke atas Myanmar sebelum ini perlu mengelak daripada tewas kepada Laos dalam aksi terakhir liga sepusingan untuk melayakkan diri ke pentas final. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI