fbpx

Agrobank lancar kad takaful edisi MAHA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ronald Kiandee pada sesi lawatan di tapak MAHA 2022 hari ini.

PETALING JAYA – Agrobank melancarkan kad takaful istimewa sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) 2022, melibatkan pelan perlindungan yang direka khas bagi segmen masyarakat berpendapatan rendah berumur dari 15 hari sehingga 75 tahun.

Dikenali sebagai Takaful Kasih Plus Edisi MAHA 2022, pelancarannya disempurnakan Menteri Pertanian & Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee pada sesi lawatan media di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang hari ini.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pihaknya percaya rangkuman kewangan adalah agen yang kukuh bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi stabil serta terangkum, terutamanya untuk memperkasakan individu dan komuniti.

“Dalam usaha untuk memperkasakan komuniti, Agrobank telah memperkenalkan pelbagai pelan perlindungan takaful dan program pembiayaan termasuklah Takaful Kasih Plus ini sendiri.

“Dengan premium serendah RM10.60 (termasuk enam peratus caj cukai jualan dan perkhidmatan, SST) setahun, produk takaful ini mampu dimiliki serta merupakan alternatif kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk mendapatkan perlindungan takaful,” katanya dalam satu kenyataan.

Dengan jangkaan jumlah pengunjung seramai 1.1 juta di MAHA 2022, Tengku Ahmad Badli Shah menambah, pameran itu akan dimanfaatkan Agrobank sebagai platform bagi mewujudkan kesedaran tentang kepentingan pelan perlindungan takaful.

“Melalui pakej mampu milik yang ditawarkan di bawah pelan Takaful Kasih Plus, kami berharap lebih ramai anggota masyarakat akan mendapat manfaat daripada pelan perlindungan ini sekali gus bertindak sebagai jaringan keselamatan kewangan untuk menghadapi waktu sukar.

“Sejak pelancaran Takaful Kasih Plus pada 2008, pelan perlindungan takaful ini diterima ramai rakyat Malaysia, yang mana lebih daripada 200,000 pelanggan telah melanggan pelan ini setiap tahun,” tambah beliau.

Kad Takaful Kasih Plus Edisi Khas MAHA 2022 boleh dilanggan di ruang pameran Agrobank terletak di Dewan A, MAHA 2022 bermula pada 4 hingga 14 Ogos 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI