PERKAHWINAN yang dibina atas dasar cinta boleh terlerai jua akhirnya jika pasangan tidak bertolak ansur antara satu sama lain.
Itulah yang dialami oleh Akmal (bukan nama sebenar) apabila dia akhirnya mengambil keputusan untuk berpisah dengan isterinya.
“Apabila hidup bersama baru kita akan mengerti sepenuhnya sikap pasangan kita.
“Saya amat menyayangi isteri saya, tetapi semakin lama rasa itu beransur hilang kerana sikapnya,” kata Akmal yang berusia pertengahan 30-an kepada K2.
Ceritanya, hampir lima tahun bersama, isterinya langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan walaupun Akmal telah menegurnya berkali-kali.
Akmal mengakui bahawa isterinya yang berusia sebaya dengannya itu memiliki sikap ‘dia saja yang betul’ dan Akmal sering dipersalahkan dalam hal-hal yang tidak sepatutnya.
Selain itu, isterinya juga bersikap terlalu mengarah dalam semua hal.
“Sebelum berkahwin saya tidak nampak sikap-sikap ini di dalam dirinya.
“Namun, setelah berkahwin baru saya mengetahui akan sikapnya ini,” jelasnya.
Pada mulanya Akmal tidak kisah dengan sikap sedemikian dan dia cuba untuk menerimanya.
Dalam masa yang sama juga, dia menasihati isterinya itu untuk mengubah sikapnya dan cuba mendengar cakapnya dalam hal-hal tertentu.
Namun, lama-kelamaan isterinya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan dan langsung tidak mahu bertolak ansur antara satu sama lain.
Hal itu telah membuatkan Akmal tidak senang dan kadangkala dia merasakan diperlakukan seperti hamba bukannya suami.
“Banyak hal-hal berkaitan urusan rumah saya yang selesaikan dan isteri hanya tahu memberi arahan,” katanya.

SIKAP isteri Akmal yang sering berasakan dirinya sahaja yang betul menyukarkan hubungan di antara mereka. – GAMBAR HIASAN
Daripada membasuh baju, mengemas rumah, melipat pakaian sehingga memasak semuanya harus dilakukan oleh Akmal dan isterinya itu hanya tahu memberi arahan.
Apabila Akmal meminta dia turut bersama menguruskan hal rumah tangga, isterinya menyatakan bahawa dia terlalu penat dengan urusan kerja sedangkan Akmal juga bekerjaya.
“Pada mulanya saya tidak kisah untuk melakukan semua ini, tetapi lama-kelamaan hanya saya melakukannya tanpa dibantu olehnya langsung, itu membuatkan saya tertekan dengan sikapnya.
“Selain itu, dia juga bersifat mendesak dan semua perkara harus diselesaikan dengan segera padahal ia boleh dilakukan kemudian,” katanya.
Dalam pada itu, Akmal menjelaskan dia juga tidak gemar dengan sikap isterinya yang berasa dia sahaja yang betul dalam semua perkara.
Malah ada ketikanya, Akmal yang dipersalahkan sedangkan kesalahan itu dilakukan oleh isterinya.
“Ada ketikannya kami bergaduh disebabkan perkara-perkara yang kecil dan dia ego serta langsung tidak mahu mendegar sebarang nasihat saya.
“Malah, saya pernah menasihatinya untuk tidak bersikap demikian tetapi akhirnya saya dipersalahkan,” ulasnya.
Tambahnya, terdetik di hatinya untuk berpisah dengan isterinya itu kerana dia tidak tahan untuk tinggal sebumbung dengan insan
yang tidak boleh bertolak ansur.
Akmal mengakui mereka juga sering bergaduh dan bermasam muka kerana hal-hal yang kecil.
Ada satu ketika, daripada hal yang kecil mereka bergaduh besar kerana isterinya itu mengeluarkan kata-kata yang mengguriskan hatinya.
Dalam keadaan marah, Akmal telah melafazkan kata cerai kepada isterinya itu.
“Saya mengakui saya berkata demikian dalam keadaan marah.
“Namun dalam keadaan itu, isteri saya langsung tidak menunjukkan rasa bersalah atau ingin memohon maaf atas perbuatannya,” jelasnya.
Tambah Akmal, dia mengakui dalam perkahwinan tersebut dia turut ada melakukan kesalahan.
Akhirnya, mereka berdua mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing buat sementara dan tidak menolak kemungkinan untuk kembali bersama jika ada jodoh lagi pada masa hadapan.














