fbpx
Orang ramai beratur untuk mendapatkan vaksin cacar monyet di Los Angeles, California, kelmarin. - AFP

WHO rayu pasangan sejenis kurangkan seks elak cacar monyet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA, Switzerland – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin menggesa lelaki yang melakukan hubungan sejenis supaya mengehadkan bilangan pasangan mereka berikutan peningkatan mendadak kes ­cacar monyet.

Golongan tersebut adalah yang paling teruk terjejas oleh jangkitan virus cacar monyet.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus membe­ritahu wartawan bahawa cara terbaik untuk melindungi daripada jangkitan cacar monyet adalah dengan mengurangkan risiko pendedahan.

“Kepada lelaki yang mengadakan hubungan seks sesama lelaki, anda perlu mengurangkan bila­ngan pasangan seks, tidak me­ngadakan hubungan seks dengan pasangan baharu atau bertukar-tukar pasangan,” katanya. 

Lonjakan kes cacar monyet dilaporkan sejak awal Mei lalu di luar negara-negara Afrika Barat dan Afrika Tengah di mana pe­nyakit itu endemik sejak sekian lama.

Tedros berkata kelmarin bahawa lebih 18,000 kes cacar monyet di 78 buah negara telah dilaporkan kepada WHO dengan 70 peratus kes dilaporkan di Eropah dan 25 peratus lagi di rantau Amerika.

Sejumlah 98 peratus kes cacar monyet di seluruh dunia menjangkiti lelaki yang melakukan hubungan sejenis.

Satu kajian yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine minggu lalu mendapati bahawa 98 peratus individu yang dijangkiti merupakan lelaki gay atau biseksual, manakala 95 peratus kes berjangkit melalui hubungan seks.

Bagaimanapun, pakar-pakar berkata, jangkitan berlaku semasa hubungan rapat dan sentuhan fizikal tetapi mereka masih enggan mengkategorikan cacar monyet sebagai penyakit kelamin. – AFP

POPULAR