KOTA KINABALU – Kegembiraan seorang datuk melihat cucu-cucunya bermain di ruang tamu rumah selepas selesai makan malam bertukar tragedi apabila rumah yang didiami mereka musnah akibat tanah runtuh dalam kejadian di Jalan Bukit Nenas di sini malam kelmarin.
Kejadian kira-kira pukul 8 malam itu mengakibatkan dua cucu Botong Jaafar, 57, iaitu Isa Sabri, 2, dan Norain Jaziz, 11, tertimbus tanah sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini.
Menurut Botong, kejadian itu turut menyebabkan anak lelakinya, Sabri Botong, 28, dan menantu dikenali Siti Nur, 28, patah tangan dan cedera pada kaki.
“Kejadian berlaku sebaik sahaja kami sembilan sekeluarga selesai menikmati makan malam sekitar pukul 8 malam.
“Ketika itu, saya sempat melihat semua cucu bermain di ruang tamu sebelum terdengar bunyi kuat dari arah luar rumah.
“Dalam keadaan kelam kabut, kami cuba menyelamatkan diri dengan keluar dari rumah,” katanya yang sudah lebih 30 tahun menetap di kawasan terbabit.
Bagaimanapun, jelas Botong, dua cucunya tidak sempat diselamatkan apabila mereka tertimbus di sebalik runtuhan tanah, manakala anak lelaki dan menantu perempuannya cedera.
“Sudah beberapa hari berlaku hujan di kawasan ini, tetapi tiada pula sebarang tanda-tanda akan berlakunya tanah runtuh,” tambahnya.

Sementara itu, ibu kepada Norain iaitu Razma Botong, 36, berkata, dia hanya mengetahui mengenai kejadian itu selepas pulang dari tempat kerja.
“Sebaik tiba, saya terkejut melihat rumah ibu bapa saya sudah ranap dan orang kampung sedang membantu menyelamatkan mangsa yang tertimbus.
“Saya terus terbayang wajah anak bongsu yang berumur 11 tahun kerana dia masih kecil.
“Sepanjang operasi mencari dan menyelamat, saya sentiasa berdoa agar anak saya selamat. Bagaimanapun, anak saya adalah mangsa terakhir yang dijumpai,” katanya.
Dalam pada itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 8.26 malam sebelum 24 anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan Kota Kinabalu bersama jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Anggota yang bertugas di lokasi mendapati memang berlaku kejadian tanah runtuh yang menghempap sebuah rumah didiami sembilan sekeluarga.
“Terdapat empat mangsa terlibat dalam runtuhan berkenaan iaitu dua kanak-kanak dan dua orang dewasa.
“Bagaimanapun, dua kanak-kanak yang terbabit disahkan meninggal dunia di hospital, manakala dua lagi mangsa yang cedera telah menerima rawatan di hospital,” ujarnya.














